PRK bukan ukuran sebenar sentimen rakyat

Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berpandangan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak mencerminkan sentimen sebenar rakyat.

Menurut beliau, PRK sering kali berada dalam situasi tertentu yang tidak mewakili pandangan keseluruhan rakyat.

“Saya ada sebut beberapa hari sebelum PRK Mahkota bahawa PRK bukanlah satu ukuran kekuatan sebenar untuk berdepan pilihan raya termasuk PRK lain.

- Advertisement -

“Misalnya, pada PRK Kuala Kangsar dan Sabak Bernam sebelum Pilihan Raya Umum 2018, BN menang besar, namun pada pilihan raya umum, mereka bukan sekadar kalah besar tetapi hilang majoriti,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di sebuah dewan di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Beliau juga menyentuh mengenai kadar peratusan keluar mengundi dalam PRK yang selalunya rendah dan tidak mewakili sentimen rakyat secara keseluruhan.

“Jika peratusan mengundi hanya 55 peratus, sudah tentu ia bukan representasi sebenar untuk mengukur sentimen rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai desas desus hubungan hambar dalam PN hingga menyebabkan kekalahan yang teruk di PRK DUN Mankota, Samsuri berkata tiada perkara serius yang berlaku hingga boleh menjejaskan hubungan kerjasama antara parti komponen dalam organisasi itu ketika ini.

Katanya, hubungan PN khususnya PAS dan Bersatu perlu memberi lebih fokus untuk kefahaman yang lebih jitu.

“Saya rasa dalam mana-mana organisasi akan ada isu atau perkara yang perlu penyelarasan, saya rasa lebih kepada penyelarasan dari segi kefahaman dan sebagainya.

“Tapi tidak ada perkara serius yang tidak boleh kita tangani. Pada saya itu perkara biasa yang boleh tangani dan boleh kita perkukuhkan muafakat dalam PN ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, PN kini sedang memperkukuhkan jentera pilihan raya di pelbagai peringkat bagi persiapan menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

“Kita sedang memperkemaskan jentera di pelbagai peringkat pilihan raya, penerangan dan sebagainya.

“Persediaan ini sebagai satu persediaan dalam pilihan raya umum yang akan datang. Itu yang lebih penting,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -