Padang Terap banjir lagi, wakil rakyat gerak bantuan

- Advertisement -

PADANG TERAP: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Mohd Radzi Md Amin segera turun meninjau lokasi banjir yang melanda semula di kampung berikutan curahan hujan lebat di daerah itu sejak malam tadi.

- Advertisement -

Antaranya Kampung Kubang Juluk, Kampung Bunga dan beberapa lokasi berdekatan, sementara jalan utama penduduk kampung Kubang Juluk terpaksa ditutup sementara kerana dilimpahi air.

“Alhamdulilah jiran-jiran berdekatan yang tidak dilanda banjir, pakat bantu yang terkena musibah. Pihak berwajib juga datang membantu dan menghulurkan tenaga,” kata beliau.

Radzi yang lebih dikenali sebagai Pak Su Die berkata, malam tadi beliau dimaklumkan beberapa kediaman di Kampung Bemban juga dinaiki air.

“Air naik terlalu cepat sehingga mangsa tak sempat nak menyelamatkan barangan, perabot dan sebagainya. Doakan semoga air cepat surut dan dipermudahkan urusan,” katanya lagi.

Terdahulu, Pak Su Die bersama Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid,  meninjau kerosakan jambatan berhampiran Sekolah Kebangsaan Felda Lubuk Merbau.

Jambatan itu katanya, perlu dibaik pulih segera untuk keselamatan para pengguna serta mengelak implikasi buruk lain berlaku.

Sebelum ini beberapa kampung terutama sekitar DUN Kuala Nerang dilanda banjir, di mana telah mengakibatkan kehilangan jiwa, dua beranak di Kampung Tanjung Kanan akibat dibawa arus deras. – HARAKAHDAILY 15/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -