Dasar sedia ada lindungi syarikat penerbangan negara

Shaharizukirnain Abd Kadir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) sentiasa menggalakkan pelaburan asing yang boleh membawa teknologi, kepakaran dan lain-lain ke dalam negara khususnya dalam sektor penerbangan.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun, katanya bagi tujuan melindungi kepentingan syarikat tempatan dalam sektor penerbangan, maka pihak kementerian telah menetapkan dasar ‘kawalan berkesan’ (effective control).

Menurutnya, dasar itu antara lain mewajibkan mana-mana syarikat yang menjadi pemegang lesen syarikat penerbangan dan operator lapangan terbang yang berdaftar di Malaysia mestilah dimiliki oleh rakyat Malaysia, yang mana pemohon mestilah sebuah syarikat yang ditubuhkan di Malaysia dan dikawal secara langsung oleh syarikat atau warganegara Malaysia.

“Dalam hubungan ini, dasar ‘kawalan’ yang ditetapkan oleh MOT ditakrifkan sebagai warganegara Malaysia yang mempunyai kepentingan ekuiti melebihi 50 peratus, atau dalam kes syarikat yang tersenarai awam, mestilah memegang sekurang-kurangnya 33 peratus daripada saham ekuiti Syarikat,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Shaharizukirnain Abd. Kadir [PN-Setiu] di Dewan Rakyat, semalam.

Shaharizukirnain dalam soalannya meminta Menteri Pengangkutan menyatakan perancangan Kementerian bagi mewujudkan rangka kerja dan dasar pintar bagi melindungi kepentingan syarikat penerbangan negara dan pengendali lapangan terbang walaupun dengan kehadiran firma antarabangsa seperti firma Singapura.

“MOT berpandangan bahawa dasar sedia ini berupaya melindungi kepentingan syarikat penerbangan negara pada masa ini.

“Pada masa yang sama, MOT turut mengalu-alukan segala bentuk kerjasama dengan negara luar dalam konteks pembangunan lapangan terbang dan kesalinghubungan perkhidmatan pengangkutan udara,” kata kementerian itu. – HARAKAHDAILY 29/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -