
KUALA TERENGGANU: Terengganu bakal memperkenalkan Night Live Museum sebagai satu tarikan baharu yang dijangka menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, ia akan dilancarkan pada tahun hadapan dan bakal menjadikan perkampungan budaya di negeri ini satu-satunya lokasi di Malaysia yang menawarkan pengalaman muzium hidup pada waktu malam.
Katanya, inisiatif itu akan memperkayakan pengalaman pelancongan melalui keindahan pencahayaan malam yang dipasang di seluruh perkampungan budaya.
“Kami telah melaksanakan beberapa penambahbaikan, seperti pemasangan pencahayaan (lighting) di kawasan ini, dan perancangan akan datang ialah memperkenalkan Night Live Museum.
“Ini akan menjadikan malam di perkampungan budaya lebih indah dan mempesonakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Musing Ketang di Kampung Budaya Terengganu, di sini, semalam.
Turut hadir Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman.
Razali juga menekankan pentingnya mengekalkan alam sekitar semula jadi sebagai sebahagian daripada daya tarikan.
“Walaupun projek ini terletak di bandar, kita akan memastikan ekosistem semula jadi, termasuk pokok-pokok besar dan sungai, dikekalkan.
“Ini bukan sahaja memberikan suasana yang lebih semula jadi, malah menunjukkan komitmen kami dalam menjaga alam sekitar,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/9/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!