
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu amat menghargai mana-mana pihak yang ingin membantu membangunkan ekonomi negeri, kata Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Ariffin Deraman.
Beliau menyatakan demikian susulan mengadakan lawatan ke Pasar Kedai Payang bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Afnida Aini Alwi dan para pegawai Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), hari ini. (Foto atas)
Katanya, beliau mahu mendapatkan maklum balas dan maklumat secara terus dan ditapis agar ianya dilihat indah untuk dimaklumkan kepadanya.
“Sebagai seorang yang mempunyai autoriti dalam urusan ini, pastinya segala luahan, pandangan dan maklumat yang diperoleh ini amat penting dalam membuat sesuatu penilaian dan penambahbaikan kepada peniaga-peniaga pada masa akan datang. Insya-Allah.
“Kerajaan negeri amat menghargai mana-mana pihak yang ingin membantu membangunkan ekonomi Terengganu selagi mana ianya tidak melanggar syariat Islam dan garis panduan yang ditetapkan,” ujarnya dalam catatan di laman sosialnya.
Beliau yang juga ADUN Alur Limbat berharap semoga negeri Terengganu terus maju, berkat dan sejahtera.
Operasi jualan di Pasar Kedai Payang 1 secara rasmi bermula 1 Ogos lalu.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata jumlah pemohon untuk menyewa kedai di Pasar Payang menunjukkan sambutan yang sangat baik, dengan hampir 1,000 permohonan diterima.
Katanya, berkaitan kadar sewa yang timbul dalam kalangan pemohon dianggap tidak besar, kerana kadar sewa yang ditetapkan adalah berpatutan berdasarkan lokasi dan jumlah pengunjung yang diunjurkan. – HARAKAHDAILY 12/9/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!