
ARAU: Program Pida Run DUN Guar Sanji 2024 berjaya menarik penyertaan lebih daripada 230 orang peserta dari seluruh negara di mana ia melebihi sasaran awal sebanyak 100 peserta, kelmarin.
Acara dianjurkan Pusat Khidmat ADUN Guar Sanji dengan kerjasama Pemuda DUN Guar Sanji, Ameerah Arau dan Majlis Tindakan DUN Guar Sanji ini berlangsung meriah di Surau Markaz Kampung Semut Gatal, di sini.
Program yang turut diadakan bersempena dengan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 ini menarik penyertaan bukan sahaja dari negeri Perlis, tetapi juga dari negeri jiran seperti Kedah, Pulau Pinang dan Pahang.
Menurut ADUN Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim, program ini memberikan pengalaman yang amat bermakna kepada peserta, terutama mereka yang datang dari luar negeri.
“Program ini bukan sahaja mencapai sasaran penyertaan tetapi turut memberi pengalaman unik kepada pelancong luar negeri. Mereka berpeluang mengenali budaya masyarakat tempatan dan beramah mesra dengan petani di sawah padi,” katanya.

Turut hadir memeriahkan acara ialah Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim, bersama beberapa pemimpin komuniti termasuk Pengarah MTD, Ustaz Fuad Ridzuan.
Juga Pengerusi Majlis Pembangunan Keselamatan Kampung (MPKK) Kampung Semut Gatal, Azhar Abd Rahman.
Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Pengurus Besar Al-Wahida Marketing, anak syarikat HPA Industries, Roslina Mohd Alwi.
Dalam pada itu, Ustaz Mohd Ridzuan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada penaja seperti HPA, Kopi Haji Radix, Kimie’z, Villa Abadi Resort, GS Care, Tok Ali Kontraktor dan AADK, yang telah membantu menjayakan program ini.
“Program ini diharapkan menjadi kenangan manis buat semua peserta serta masyarakat setempat,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/9/2024


Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!