
KOTA BHARU: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota perlu menterjemahkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan dengan memilih Perikatan Nasional (PN).
Pengarah Pilihan Raya As-Sabiqun PAS Pusat, Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, kerajaan hari ini terus dibelit pelbagai isu membabitkan kepentingan umat Islam.
Malah katanya kerajaan diketuai Dato’ Seri Anwar Ibrahim kelihatan tidak serius menangani masalah termasuk kenaikan harga barangan dan kos sara hidup rakyat.
“Kenaikan harga barangan kita dapati di sana ada ketidakpuasan hati dalam kalangan umat Islam termasuk isu pertikaikan sijil halal yang dibangkitkan DAP baru-baru ini.
“Kita nampak pendirian Perdana Menteri tidak menyebelahi kepentingan umat Islam yang dianggap sesuatu yang gagal bagi kita,” katanya di sini semalam.
Dr Wan Nik yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan menjelaskan PRK tersebut bakal menjadi punggutan suara terhadap isu yang gagal diselesaikan kerajaan hari ini.
Oleh itu beliau berharap pengundi DUN Mahkota dapat membuat pertimbangan sewajarnya bagi menghantar referendum kepada pimpinan kerajaan campuran di Putrajaya.
“Kita harap keputusan ini memberi sokongan kepada PN sebagai protes pengundi dan rakyat Malaysia,” katanya.
Menurutnya juga Sijil halal menjadi pertikaian antara Ketua Pemuda Umno Dato’ Dr Akmal Saleh dan Teresa Kok biarpun ia cuba diredakan Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bahkan Ahli Parlimen Seputeh itu menuntut ganti rugi RM25 juta daripada Ketua Pemuda Umno itu kerana mendakwa kenyataannya diputar belit mengenai sijil halal. – HARAKAHDAILY 22/9/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!