
LENGGONG: Mana-mana pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), terutama Umno sendiri yang terasa tidak mahu bersekongkol lagi dengan DAP, bolehlah meniru dan belajar dengan PAS.
Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Ulama PAS Perak, Ustaz Muhammad Rif’aat Razman menyatakan seruan itu yang ditujukannua khusus kepada para pemimpin Melayu-Islam di dalam komponen tersebut.
Katanya lagi, PAS berani menjatuhkan talak kepada DAP walaupun sedar akan menghadapi implikasi lain termasuk hilang status sebagai kerajaan di Selangor dan Pulau Pinang, termasuk hilang kerusi campuran serta kalah agak teruk pada PRU14 lalu.
“Itu tidak termasuk berlaku krisis dalaman parti kerana terdapat segelintir pemimpin dan ahli yang menyokong DAP, sehingga wujudnya parti PAN yang ditubuhkan oleh bekas ahli PAS,” kata beliau.
PAS katanya, sedar implikasi itu akan berlaku apabila tindakan ‘bercerai’ dengan DAP diambil, tetapi sebagai parti berprinsip, ‘perpisahan’ itu sebenarnya lebih membawa kebaikan berbanding kontroversi terpaksa ditanggung selama tinggal sebumbung.
Malah ujarnya lagi, dalam masa yang sama ahli dan pemimpin PAN menuduh PAS akan jalinkan hubungan ‘Unity Government’ bersama Umno seperti dakwaan ‘Mursyidul Am’ parti itu pada tahun 2008 dahulu.
Termasuk kesali Rif’aat tuduhan salah seorang pemimpin parti serpihan itu bahawa PAS mahu melacurkan diri kepada Umno.
Mengulas lanjut, kata beliau, sekiranya Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh marahkan DAP, beliau perlu betul-betul menunjukkan ‘kejantanannya’.
“Saya ucap syabas kepada Akmal atas sifat kejantanan yang ditunjukkan.Tetapi selagi mana Umno bersekongkol dengan DAP, kejantanan tu tiada makna sedikitpun.
“Ibarat seorang lelaki yang tunjuk ‘cengei’ (garang) dengan isterinya depan kawan dan lawan hanya sebab nak jaga air muka dan misai melentik (garang).
“Kejantanan yang tak lebih daripada sekadar sandiwara menutup kebaculan. Balik ke rumah, isterinya jadi ‘queen control’,” bidas beliau lagi.
Akmal sebelum ini memuat naik video di media sosial ‘menghentam’ Ahli Parlimen Seputeh yang juga rakan pakatannya dalam PH, Teresa Kok, berhubung isu sijil Halal.
Dalam video tersebut, Ketua Pemuda Umno itu menyebut Teresa sebagai ‘nyonya tua’ dan mencadangkan kerajaan menyediakan label ‘non-Halal’ untuk ditempek di dahi pemimpin DAP berkenaan.
Sehubungan itu, tegas Rif’aat lagi, Akmal perlu sedar ketika ini pemimpin tertinggi Umno menjelajah ke akar umbi parti itu bagi menjelaskan sebab perlu bergabung bersama DAP dan putus hubungan bersama PAS dan Perikatan Nasional (PN).
“PAS pula dijadikan alasan kononnya juga pernah ‘berkahwin’ dengan DAP sedangkan PAS ‘ceraikan’ DAP kerana ‘queen control’. PAS ada prinsip sebagai jantan.
“PAS bukan spesis oportunis, dalam muktamar beria-ria terpekik-pekik sampai terik urat merih “Wallahi, No Anwar No DAP” …..hakikatnya sekarang?
“Sebaliknya orang yang lantang berikrar dan bersumpah itulah juga yang bersungguh-sungguh kumpul SD daripada wakil rakyat partinya untuk memberi sokongan kepadanya membawa Umno dan BN masuk ke kolam Anwar dan DAP,” tegasnya lagi.
Umno katanya, memang ‘mudah lupa’ sedangkan sebelum PRU15, wakil dari parti itu menjadi Perdana Menteri, menguasai kerajaan negeri dan Persekutuan semuanya atas sokongan daripada PAS dan BERSATU membentuk PN.
“PAS ada prinsip perjuangan dan istiqamah berpegang dengan prinsipnya. Ikatan kerjasama PAS dengan DAP dahulu ditaklik dengan syarat _‘agree to disagree’_ iaitu bersetuju untuk tidak bersetuju.
“Tetapi apabila DAP kacau agenda PAS, maka PAS tidak teragak-agak untuk tinggalkannya walaupun kesannya PAS kalah dalam pilihan raya.
Apa yang PAS cakap itulah yang PAS buat,” tambahnya lagi.
Oleh itu tegas beliau, Umno perlu mempamerkan ‘kejantanan’ sendiri yang sememangnya mahu bersama DAP yang berkuasa, berpengaruh dan banyak harta dan jangan justifikasikan tindakan itu dengan menggunakan nama PAS. – HARAKAHDAILY 10/9/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!