
KOTA BHARU: Perdana Menteri mengetuai senarai 763 penerima darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-55 hari ini.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) membawa gelaran Dato’ pada istiadat yang diadakan di Istana Balai Besar, di sini.
Sementara itu, seramai 10 individu menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) termasuk Exco dan ADUN.
Mereka ialah Exco Kerajaan Negeri Ustaz Wan Roslan Wan Hamat dan Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus.
Pengerusi Eksekutif Apex Equity Holdings Berhad, Farhash Wafa Salvador dan Ketua Pegawai Eksekutif Muhibbah Security Sdn Bhd, Dato’ Mohd Khidir Yaacob menerima Darjah Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (SJMK).
Manakala penerima tunggal Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Leftenan Jeneral Dato’ Zulkeffeli Mat Jusoh.
Tiga individu iaitu Pegawai Kewangan, Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal; Profesor Jabatan Al-quran Dan Al-hadith Universiti Malaya, Datuk Dr Zulkifli Mohd Yusoff dan Pengarah Tanah Dan Galian, Dato’ Rosnazli Amin dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK).
Ketua Polis Negera, Tan Sri Razarudin Husain, Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Seri Nordin Muhamad dan Bekas Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun pula dikurniakan Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (SPJK). – HARAKAHDAILY 29/9/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!