
KOTA BHARU: Tindakan sembilan institusi pendidikan Cina menolak inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyelaras sukatan Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular sebagai tindakan menafikan status kewarganegara mereka.
Pakar psikososio Dr Zulkeflee Yaacob berkata, tindakan institusi pendidikan Cina tersebut disifatkan masih berilusi imigran di bawah naungan kolonial.
Katanya, institusi berkenaan disifatkan tidak patriotik dan berlawanan prinsip Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada Negara, Kedaulatan Undang-undang dan Keluhuran Perlembagaan.
“Ini kerana tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah Cina sangat lemah dari aspek tulisan mahu pun sebutan yang merosakkan nilainya dari sudut pandang antarabangsa,” katanya di sini.
Baru-baru ini Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee dilapor menolak penyelarasan sukatan Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular.
Institusi pendidikan Cina terbabit iaitu Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Selangor dan Kuala Lumpur.
Selain itu Majlis Bahasa Cina Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia, Institut Pengajian Cina UTAR, Majlis Pengetua Sekolah Menengah Conforming Malaysia, Majlis Guru Besar SJKC Malaysia dan Persatuan Ibu bapa Pendidikan Cina Malaysia.
Dr Zulkeflee berkata, sinergi pelanggaran itu mesti dikenakan tindakan tegas saperti tempoh tertentu dilucut taraf kewarganegaraan atau dibatalkan sekolah berkenaan melaksanakan satu aliran sekolah di Malaysia.
Ini, ujarnya kerana sebagai rakyat Malaysia, mahu tidak mahu mesti memahami dan fasih dalam bahasa kebangsaan dari aspek nahu dalam tulisan dan lisan bagi menghayati semangat Perlembagaan.
Kata beliau alasan bahasa ibunda pelajar sekolah Cina bukan Bahasa Melayu, sebaliknya bahasa kedua di sekolah berkenaan, tidak mewajarkan menggunakan sukatan sama seperti pelajar Melayu.
“Masakan hak pembelajaran bahasa ibunda dihalang kerana wadah pembelajaran menuntut penggunaan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu mesti difahami dan digunakan dalam urusan tadbir urus rasmi negara dan interaksi dalam masyarakat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/9/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!