Terengganu teroka potensi industri mikroalga

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu, di bawah portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, telah melakukan lawatan ke CHITOSE Carbon Capture Central Sarawak (C4) untuk meneroka potensi dalam industri pengeluaran mikroalga.

Pengerusinya, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman berkata, tujuan lawatan itu adalah untuk mendapatkan pendedahan mengenai teknologi pengeluaran baharu yang dapat digunakan untuk pembangunan ekonomi negeri Terengganu di masa hadapan.

Katanya, C4 telah ditubuhkan pada tahun 2023 oleh CHITOSE syarikat dari negara Jepun.

- Advertisement -

“Penubuhan industri berasaskan mikroalga bermula pada C4 dengan keluasan 5 hektar tanah menjadi pemangkin kepada kewujudan industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan akan berkembang ke seluruh dunia.

“Kemudahan pengeluaran mikroalga ini merupakan yang terbesar di dunia menggunakan konsep Photo Bio Reactor (PBR). Ini menjadikan ia berpotensi menjana nilai ekonomi kepada Sarawak.

“Semoga hasil lawatan ini dapat pendedahan teknologi baru dan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi Terengganu juga suatu hari nanti. Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya semalam.

Terdahulu, kerajaan negeri Terengganu komited untuk menjadikan negeri itu sebagai satu daripada hab pembangunan industri CCUS di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bagaimapun berkata pihaknya mengakui pelaksanaan industri baharu ini bukan suatu yang mudah dan kerajaan negeri memerlukan bantuan serta kerjasama daripada semua pihak terutama kerajaan Persekutuan bagi memastikan ia berjaya dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 21/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -