‘Saya sangkal persepsi berkenaan, negeri terus bela rakyat’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, beliau terbuka untuk menerima rakan-rakan media yang ingin bertemu untuk mendengar sendiri penjelasan.

- Advertisement -

Beliau percaya bahawa rakan-rakan media akan memainkan peranan dengan telus menyampaikan mesej secara terus kepada para pembaca.

“Tengah hari ini saya menerima kunjungan dari media Sin Chew Daily bagi menemubual untuk mendapatkan input mengenai persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang dianjurkan oleh Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than baru-baru ini,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, wartawan media itu, Ai Ling ada bertanya kepada beliau mengenai tanggapan masyarakat Cina yang menganggap kerajaan menafikan hak kaum minoriti itu. (Foto bawah)

“Saya menyangkal persepsi berkenaan kerana kerajaan negeri terus menerus membela nasib rakyat walaupun pelbagai agama dan bangsa,” ujarnya yang juga ADUN Wakaf Mempelam.  

Beliau sebelum ini telah menjelaskan berhubung isu mengenai persembahan pada acara keagamaan dianjurkan Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, kerajaan negeri tidak pernah menghalang mana-mana pihak daripada apa-apa pertubuhan yang mewakili pelbagai segmen sama ada kebudayaan, warisan dan agama untuk mengadakan program selagi mengikut garis panduan ditetapkan kerajaan negeri.

Katanya, isu tular berkenaan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang mendakwa kerajaan negeri melarang penyanyi wanita membuat persembahan pada acara keagamaan anjuran sebuah tokong itu kurang tepat daripada fakta sebenar.

Tegasnya lagi, kerajaan negeri tidak pernah diskriminasi kepada mana-mana kaum bahkan sentiasa menghormati setiap kaum mengikut kepercayaan agama masing-masing.

“Bahkan kita juga terbuka untuk membenarkan apa-apa jua acara diadakan selagi ianya mematuhi syarat dan juga garis panduan yang ditetapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -