
KANGAR: Perlis meletakkan sasaran meraih 10 pingat emas pada edisi Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak dengan prospek utama daripada sukan taekwondo dan angkat berat, kata Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Menurut beliau, sukan-sukan lain seperti silat olahraga dan pelayaran juga berpotensi menyumbang pingat emas di mana pencapaian terbaik pernah diraih Perlis adalah 12 pingat emas.
“Kami yakin dapat memecahkan rekod tersebut tahun ini,” katanya ketika ditemui media selepas Seminar Pengukuhan Pegawai-pegawai Masjid Negeri Perlis di Dewan Warisan, di sini hari ini.
Perlis juga umumnya, menawarkan insentif RM5,000 kepada atlet yang berjaya meraih pingat emas dalam acara individu pada SUKMA di Sarawak yang bermula pada 17 Ogos ini.
Atlet meraih pingat perak dan gangsa individu pula maklum beliau yang juga ADUN Sanglang, masing-masing bakal menerima insentif sebanyak RM3,700 dan RM2,400.
Kerajaan negeri juga katanya, telah memutuskan untuk membuat pembayaran insentif segera kepada atlet-atlet Perlis yang meraih pingat dalam SUKMA pada kali ini.
“Atlet individu yang meraih pingat akan mendapat pembayaran insentif tunai awal selepas mereka menaiki podium di mana untuk emas akan mendapat sebanyak RM1,000, perak RM700, dan gangsa RM400,” tambah beliau.
Perlis akan menghantar seramai 284 atlet yang akan bertanding dalam 28 acara daripada 37 sukan yang dipertandingkan. – HARAKAHDAILY 5/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!