
MENTERI Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli telah mengemukakan penjelasan terperinci mengenai kronologi dan faktor pertimbangan di sebalik keputusan Yayasan Islam Perlis (YIPs) untuk menjual pegangan 20 peratus saham dalam Perlis Specialist Hospital Sdn Bhd (PsSH) kepada Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn Bhd (KPJSB).
Perkara tersebut dibentang nyatakan oleh beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini seperti berikut:
11 Julai 2011
Pegangan asal nilai saham YIPs ialah 40 peratus, iaitu RM6.5 juta dalam bentuk nilai tanah melalui Perjanjian Usahasama yang memerlukan YIPs memindahkan hak ke atas lot tanah 2575 Mukim Seriab kepada PsSH.
17 Mei 2018
PsSH memulakan operasi, namun prestasi perakaunan beraudit tidak menunjukkan keuntungan, menyebabkan YIPs tidak menerima dividen.
Penyata kewangan YIPs bagi prestasi PsSH menerima teguran dari Jabatan Audit Negara (JAN) pada tahun 2019 hingga 2022, yang mencadangkan peruntukan rosot nilai. Contoh 2019:
– Kos Pelaburan YIPs: RM6.5 juta
– Jumlah Aset PsSH: RM8.3 juta
– Liabiliti PsSH: RM63.2 juta
– Nilai Aset Ketara Bersih: (RM54.9 juta)
– Nilai Aset Ketara Bersih persaham: (RM8.45) persaham
7 Disember 2021
KPJ Healthcare Berhad menyatakan hasrat menaikkan modal berbayar dalam PsSH yang memerlukan YIPs menyediakan RM6.7 juta tambahan untuk mengekalkan pegangan 40 peratus saham.
15 Ogos 2022
Mesyuarat Lembaga Pengarah YIPs Bil. 2/2022 membuat dua keputusan utama:
– Tidak menyertai kenaikan modal berbayar, mengurangkan pegangan YIPs kepada 20 peratus (nilai RM6.5 juta) dan mengurangkan wakil YIPs dalam Lembaga Pengarah PsSH dari dua kepada satu.
– Melepaskan pegangan saham YIPs dalam PsSH atas faktor ketidaktentuan dividen.
15 Mei 2023
Pertemuan diadakan antara Lembaga Pengarah YIPs dan pengurusan tertinggi KPJ Healthcare Berhad untuk memuktamadkan penamatan perjanjian. YIPs dimaklumkan bahawa jangkaan agihan dividen jika mengekalkan 20 peratus saham adalah pada tahun 2030.
Sebelum penjualan saham, nilai pegangan KPJSB ialah 80 peratus bersamaan RM26.50 juta, manakala YIPs ialah 20 peratus bersamaan RM6.50 juta berdasarkan nilai modal berbayar terkini PsSH iaitu RM33.00 juta.
28 Mac 2023
Nilai tanah dan bangunan semasa PsSH ialah RM69.39 juta. Tuntutan YIPs ialah RM8.94 juta berdasarkan surat penilaian oleh Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta Negeri Perlis.
10 Jun 2024
Perjanjian jual beli saham antara YIPs dan KPJSB dimuktamadkan dengan YIPs menerima RM8.94 juta berdasarkan nilai tanah semasa.
Penjualan ini mencerminkan keseriusan YIPs dalam pengurusan kewangan dan membuka peluang kerjasama dan pelaburan baru yang lebih menguntungkan. – HARAKAHDAILY 7/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!