
KOTA BHARU: Usaha serius dilakukan kerajaan negeri bagi melaksanakan pendokumentasian petunjuk geografi berkaitan warisan negeri Kelantan.
Usaha ke arah itu dilaksanakan melibatkan pelbagai pihak termasuk Nuansa Jawi, Jabatan Warisan Negara Zon Timur, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Selain itu PELAYANG Kelantan dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Pengurus Nuansa Jawi Trading Ahmad Basri Hashim berkata, perbincangan diadakan baru-baru ini dengan dipengerusikan anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Kamarudin Md Nor.
Katanya, pada pertemuan itu diadakan perbincangan mengenai strategi dan langkah-langkah untuk mendokumentasikan petunjuk geografi yang relevan dengan warisan Kelantan.
“Ia bertujuan memastikan perlindungan dan promosi budaya tempatan. Nuansa Jawi menekan kepentingan projek tersebut dalam melindungi, memulihara, dan meningkatkan reputasi kesenian, kebudayaan dan warisan Kelantan.
“Projek tersebut akan membantu melindungi dalam tempoh jangka panjang warisan budaya Kelantan, selain mempromosikan kesenian dan warisan tempatan secara lebih meluas,” katanya di sini.
Menurutnya juga pada perbincangan tersebut wakil PELAYANG berkongsi maklumat berkenaan Wau Bulan sebagai salah satu warisan budaya ikonik di Kelantan.
Kata beliau juga PELAYANG berusaha gigih memelihara dan mempromosikan Wau Bulan kepada masyarakat di Kelantan.
Beliau berkata, potensi Wau Bulan untuk didaftarkan sebagai petunjuk geografi bagi memastikan perlindungan dan promosi secara meluas, termasuk di peringkat antarabangsa.
“Prof Madya Dr Raja Iskandar Raja Halid dan Prof Madya Ts Dr Nik Zulkarnain Khidir dari UMK turut menyatakan kepentingan penyelidikan berkualiti tinggi dalam menjayakan projek pendokumentasian petunjuk geografi.
“Penyelidikan berimpak tinggi akan memastikan maklumat yang dikumpul tepat dan relevan, sekaligus meningkatkan keberkesanan dalam melindungi dan mempromosikan warisan budaya Kelantan,” ujarnya.
Sementara itu Kamarudin berkata, projek tersebut merupakan yang pertama dilaksanakan di Kelantan bagi merintis usaha perlindungan harta intelek negeri.
Katanya kolaborasi dan libat urus antara agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri penting bagi memastikan projek terbabit menjadi kenyataan bagi melindungi warisan budaya Kelantan. – HARAKAHDAILY 28/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!