Halaqah Ilmiah Perlis masuki siri ketujuh

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri meneruskan komitmen dalam memartabatkan ilmu agama melalui penganjuran Halaqah Ilmiah yang kini memasuki siri ketujuh.

- Advertisement -

Program bertemakan “Islam Penyelesai Masalah Ummah” itu dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 17 Ogos depan bertempat di Dewan Residensi, Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, program tersebut bertujuan untuk menyemarakkan lagi budaya ilmu di negeri Perlis, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam.

“Majlis ini adalah satu usaha penting bagi memastikan ilmu terus berkembang dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Pada siri kali ini, acara akan dimulakan dengan sesi pendaftaran pada pukul 8.30 pagi.

“Diikuti oleh sesi ceramah yang akan menampilkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya sebagai ahli panel jemputan,” katanya yang juga ADUN Santan.

Beliau dijangka akan mengupas isu-isu semasa dan memberikan pandangan berharga mengenai bagaimana Islam dapat berfungsi sebagai penyelesai kepada pelbagai cabaran yang dihadapi oleh ummah masa kini.

Ustaz Muhammad Azmir turut mengajak seluruh Muslimin dan Muslimat untuk hadir dan memanfaatkan peluang ini.

“Kehadiran dalam majlis ilmu ini bukan sahaja membuka ruang untuk menambah pengetahuan, tetapi juga mengeratkan silaturrahim sesama kita,” tambahnya.

Program Halaqah Ilmiah ini merupakan kesinambungan daripada siri-siri sebelumnya yang mendapat sambutan hangat daripada masyarakat.

Beliau mengharapkan program ini terus memberi impak positif dan menjadi platform untuk perbincangan mendalam mengenai peranan Islam.

Khususnya ujar Azmir, dalam menangani pelbagai isu dan cabaran ummah, selaras dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri Perlis untuk memartabatkan syiar Islam di negeri ini. – HARAKAHDAILY 15/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -