
ALLAH memberi pakaian kepada orang kafir tetapi pakaian tersebut daripada api neraka. Tidak dapat kita bayangkan bagaimana pakaiannya. Inilah balasan kepada mereka. Kemudian, air yang panas menggelegak akan dicurahkan ke atas kepala mereka.
Panasnya berpuluh-puluh kali ganda daripada kepanasan di dunia. Kepanasan di dunia merupakan satu per sepuluh daripada kepanasan api neraka. Ini pun kita sudah tidak mampu untuk menahannya dan bertempik. Bayangkan kalau semua kepanasan itu datang kepada kita. beratnya azab di akhirat.
Apabila air panas dicurahkan, bukan sekadar kulit luar hancur, yang dalam perut juga turut hancur. Maknanya, kita wujud di akhirat sama seperti di dunia. Tubuh dengan adanya organ dan sebagainya seperti di dunia. Tubuh kita hidup semula seperti tubuh yang asal di dunia. Kalau tidak, tidaklah merasanya.
Ada ayat menyebut, hilang kulit, kemudian tumbuh kulit yang baru (Rujuk ayat ke-56 Surah An-Nisaa). Kata ulama, kulit yang dibakar lama akan kalis atau tidak terasa sakit. Oleh sebab itu, tumbuh kulit yang baru supaya sakit itu terasa lagi dan lagi. Ibarat anak kecil yang selalu dirotan oleh mak ayah, apabila sudah besar, dia menjadi tega dengan kesakitan dan tidak merasa apa-apa. Kalis dengan penampar dan penumbuk.
وَلَهُم مَّقَـٰمِعُ مِنۡ حَدِیدࣲ
Maksudnya: Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka. (Surah Al-Hajj: 21)
Tidak diketahui bagaimana batang besi itu digunakan, namun kita boleh bayangkan betapa kerasnya ia. Mereka yang diseksa mencari jalan untuk lari daripada neraka.
Memang perangai kita manusia, apabila sakit dan susah, akan mencari jalan untuk terlepas daripada masalah yang kita hadapi. Jadi di akhirat pun begitu. Namun tidak berjaya kerana malaikat mengawalnya. Malaikat mengawalnya bukan dengan cara yang biasa.
Penjara Alcatraz merupakan antara penjara yang terhebat di Amerika, tetapi orang dapat melarikan diri. Di neraka, orang tidak boleh nak melarikan diri. Kalau lari sekalipun, nak pergi ke mana. Tiada tempat nak lari.
Gambaran yang Allah tunjukkan ini baru sedikit. Nak kata, beratnya azab di akhirat. Dengan harapan apabila kita membaca hal ini, kita berasa takut nak melakukan dosa kepada Allah SWT.
Kalau kita terbuat juga dosa, mintalah ampun sebelum kita meninggal. Insya-Allah dosa-dosa kita akan diampunkan oleh Allah. Kalau tidak, kita akan masuk ke dalam neraka.
Berdoalah dengan doa berdasarkan ayat ke-201, Surah Al-Baqarah:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Kata ulama, kebaikan di akhirat yang pertamanya ialah dosa diampunkan. Kalau dosa kita tidak diampunkan, kita tidak terlepas daripada azab. Mungkin di atas dunia kita telah meminta ampun dengan Allah, tetapi kita tidak ingat. Walau jahat setara mana pun, tetapi dengan kasih sayang-Nya dan ada iman di dalam hati, kita berharap Allah mengampuni kita.
Kebaikan yang keduanya ialah masuk syurga atau dijauhkan daripada azab. Maknanya tidak masuk neraka. Masuk neraka bergantung kepada kejahatan kita. Selama mana kita duduk di dalam neraka adalah bergantung kepada kejahatan yang kita buat. Kalau kejahatan kita tidak banyak, kita duduk di dalam neraka sekejap sahaja. Kalau banyak, lamalah sedikit.
Ibarat kita membasuh pakaian. Setelah membasuh dengan air sabun, bilas kemudian jemur, dah boleh pakai. Ada yang perlu dicuci dengan sabun, baru bersih. Ada yang perlu diberus, bukan sekadar dicuci dengan sabun sahaja.
Ada yang perlu direbus dengan air panas, kalau tidak kotoran tidak akan hilang. Ada yang perlu direndam dengan cecair peluntur sehingga dua atau tiga malam, tidak cukup semalaman sebab terlalu kotor.
Di akhirat, kalau terlepas dan tidak masuk neraka, Alhamdulillah. Tetapi kalau masuk neraka sekalipun, ia bergantung kepada amal kita. Mungkin masuk neraka, kemudian diperintahkan oleh Allah untuk mengeluarkan kita walaupun tempoh seksaan belum habis. – HARAKAHDAILY 26/8/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!