
BANGI: Seramai 600 orang yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak menyertai Larian Keluarga Merdeka Putramahkota 2024 sambil mengibarkan bendera Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Semenyih, Nushi Mahfodz berkata, larian sejauh 1.5 km dimulakan pada pukul 7 pagi bermula di Putrawalk, Bandar Seri Putra dan tamat jam 9 pagi.
Beliau berkata, program itu bukan sekadar satu aktiviti larian, tetapi satu manifestasi kesatuan dan semangat patriotisme yang diwarisi dari dahulu lagi.
“Ahamdulillah, program larian pagi tadi berjalan dengan lancar. Suasana penuh semangat, dengan anak-anak kita mengangkat jalur gemilang, menyulam rasa cinta pada negara.
“Kehadiran kalian membuktikan bahawa semangat merdeka terus hidup dan kuat dalam jiwa kita,” katanya.
Tambah Nushi lagi, mudah-mudahan adanya program itu berjaya mengeratkan hubungan kekeluargaan, memupuk gaya hidup sihat dan menyemai nilai patriotik dalam diri generasi muda.
Sehubungan itu, beliau mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah mengambil bahagian dan menjayakan acara ini bersama.
“Kita hayati jiwa merdeka. Sejahtera Malaysia!” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!