Warga Sungai Bakap hantar Abidin ke DUN Pulau Pinang

- Advertisement -

KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 DUN Sungai Bakap, 6 Julai lalu, membuktikan kepercayaan pengundi kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) masih kuat selepas PRU15 (2022) dan PRN15 (2023).

- Advertisement -

Daripada majoriti 1,563 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, meningkat hampir 300 peratus iaitu 4,267 pada PRK kali ini melalui calon PN, Abidin Ismail atau Abang Abidin.

Sedangkan umum mengetahui PN sebenarnya tidak bertarung dengan jentera Pakatan Harapan (PH) sebaliknya berhadapan dengan jentera kerajaan, malah pelbagai peruntukan diumumkan konon untuk kebaikan penduduk DUN Sungai Bakap.

Tetapi jelas, pengundi DUN Sungai Bakap tidak mudah digula-gulakan, malah tega meletakkan harapan kepada Abang Abidin yang diibaratkan kembar kepada Arwah Nor Zamri Latiff atau Abang Zam.

Bagi penduduk DUN berkenaan, legasi Abang Zam wajar menggantikan kekosongan kerusi DUN Sungai Bakap dan bukan orang luar yang kurang dikenali, bahkan juga bukan pengundi di situ.

Adakah dengan memberi kemenangan kepada calon PN, penduduk DUN Sungai Bakap menolak pembangunan atau kemajuan yang dicanang kerajaan untuk mereka?

Adakah juga, penduduk DUN Sungai Bakap sanggup membiarkan masalah bekalan air terus membelenggu mereka apabila legasi Abang Zam terus mewarisinya?

Hakikatnya, penduduk DUN Sungai Bakap lebih maklum siapa yang ikhlas memperjuangkan hak rakyat di situ dan pihak mana yang bersungguh-sungguh mengangkat masalah bekalan air yang sudah enam tahun dihadapi mereka.

Kenapa ketika PRK baru pihak pemerintah bersungguh berjanji menyelesaikan masalah bekalan air, sedangkan hal itu sudah lama berlarutan dan siapakah menjadi kerajaan menerajui negeri itu sepanjang enam tahun itu?

Mengapa perlu ada suara sumbang mengatakan konon PN sengaja menjadikan isu bekalan air di DUN Sungai Bakap sebagai modal kempen PRK seolah-olah masalah itu baharu semalam berlaku?

Nah! Bukankah parti yang menerajui Pulau Pinang adalah dari kalangan yang hebat dan profesional, tidak seperti Kedah yang hanya ditadbir Pak Lebai dan berkelulusan pondok, kononnya.

Abang Abidin calon rakyat

Sebut berkenaan sijil dan kelayakan, nampaknya hal itu bukanlah ukuran pengundi DUN Sungai Bakap untuk melantik wakil mereka.

Abang Abidin yang cuba dimainkan oleh parti lawan kononnya tidak bersijil berbanding calon Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai PhD, tetap mendapat tempat di hati rakyat, bukan sahaja orang lama tetapi juga anak-anak muda.

Malah seperti kata Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, ahli dan penyokong Umno di kampung-kampung juga antara yang menyumbang kemenangan PN kali ini, dan sekali gus membuktikan calon PN lebih dipercayai berbanding calon daripada parti kompenan mereka sendiri.

Selain itu, kegagalan Kerajaan Persekutuan yang merupakan sekutu kepada Kerajaan Pulau Pinang menangani masalah ekonomi sehingga mengakibatkan kos sara hidup dan harga barang meningkat serta membebankan rakyat, menjadi faktor penolakan tuntas pengundi terhadap calon PH.

Pengundi rata-rata mengeluh, pemimpin PH hanya pandai berjanji tetapi apabila diberi mandat tidak ditunai walau diulang-ulang puluhan kali.

Pengundi muda memandang isu ini sebagai penghalang untuk mereka pergi jauh merancang masa depan, dengan keadaan gaji tidak naik, barangan keperluan dan lain-lain terus naik, sukar bagi mereka meletakkan harapan pada sebuah kehidupan yang sempurna.

Peluang pekerjaan, impian ‘rumah pertama’ termasuk membina kehidupan berkeluarga sukar dirancang dengan dalam keadaan duit ‘ciput’, ekonomi bak siput berjalan tetapi harga barang meluncur bak roket ke bulan.

Keputusan kerajaan menaikkan harga minyak diesel juga ibarat ‘jerat makan tuan’ konon untuk membantu golongan berpendapatan rendah walhal golongan itu lebih menerima padah. Telur turun harga tiga sen tidak membawa makna kalau beras makanan asasi melambung harganya.

Isyarat rakyat kepada kerajaan

Kerajaan wajar sedar, keputusan PRK DUN Sungai Bakap merupakan isyarat protes rakyat pelbagai kaum serta pelbagai lapisan umur.

Pengundi bukan Melayu tanpa ragu memberi undi kepada PN, sebagai bukti di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Bakap yang mempunyai hampir 3,500 pengundi India dan Cina dimenangi calon PN.

Sementara walaupun di UDM Puteri Gunung (hampir 8,000 pengundi India dan Cina) PN belum boleh menguasai, namun jumlah undi PH di situ berjaya dikurangkan.

Pada PRN lalu, PN mendapat majoriti undi enam daripada lapan UDM di DUN Sungai Bakap, tetapi pada PRK 6 Julai lalu, PN berjaya mengekalkan majoriti di semua UDM kecuali Puteri Gunung.

Lebih memberangsangkan PN menyapu bersih kesemua sembilan  saluran pengundi muda dan menguasai 49 daripada 66 saluran di seluruh 10 pusat pengundian DUN Sungai Bakap.

Pengundi DUN Sungai Bakap tidak bodoh, mereka tahu memberi undi untuk kemenangan Abang Abidin tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri yang ditadbir DAP, namun dengan keberadaan ADUN Pembangkang di Dewan Undangan Negeri itu, hak rakyat DUN Sungai Bakap pasti mendapat pembelaan.

Arwah Abang Zam telah meninggalkan contoh yang baik kepada penduduk DUN Sungai Bakap walaupun hanya sempat sembilan bulan berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Kini Abang Abidin bakal menyambung legasi Arwah Abang Zam menjadi ‘wira’ rakyat membela nasib penduduk bukan hanya di DUN Sungai Bakap tetapi juga di Seberang Perai Selatan. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -