Semak dahulu sebelum buat cerita dongeng

- Advertisement -

ALOR SETAR: Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir diingatkan agar tidak membuat kenyataan dangkal sebaliknya menyemak dahulu sebelum membuat tuduhan.

- Advertisement -

Pegawai Khas Menteri Besar, Salmy Anas Ahmad menegaskan demikian berikutan dakwaan kononnya Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor culas hadir pada lawatan Menteri berkenaan ke Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini baru-baru ini.

“Jemputan berkenaan bukanlah kepada Menteri Besar sebaliknya kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria sahaja.

“Sama ada Akmal tersalah pandang, hilang ingatan atau mungkin sengaja mereka cerita, tuduhan itu sememangnya jelas memburukkan Menteri Besar Kedah demi meraih laba politik atau ‘political mileage’. kata beliau.

Beliau tidak pasti perkara yang merasuk fikiran Timbalan Menteri itu yang mendakwa telah menghantar surat jemputan lawatan kepada Sanusi, sedangkan setelah disemak, pihak Menteri Besar tiada menerima surat dimaksudkan.

Akmal ketika sesi menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat baru-baru ini mendakwa Sanusi tidak hadir pada jemputan kementerian terbabit ketika lawatan meninjau perkembangan pembinaan LRA di Kedah.

ADUN Jeneri itu didakwa kononnya lebih cepat menerima jemputan turun padang bagi perlawanan  bola sepak daripada hadir ke lawatan tersebut.

Justeru kata Anas, kenyataan itu jelas merupakan provokasi murahan untuk mencalar kredibiliti pemimpin nombor satu Kedah itu, sedangkan jika adapun jemputan, cukuplah pihak Sanusi raikan dengan menghantar Exco berkaitan

Kerana kata Anas, adalah tidak masuk akal setiap kali Menteri atau Timbalan Menteri turun ke Kedah, Menteri Besar perlu menyambut kedatangan mereka.

“Jadi bagi saya dakwaan Akmal seolah-olah merendah-rendahkan kedudukan Exco yang dihantar mewakili kerajaan negeri untuk menyambut Timbalan Menteri datang ke Kedah,” bidasnya lagi.

Dalam masa yang sama katanya, tidak hairanlah kalau Menteri berkenaan bersikap sedemikian kerana sehingga kini tidak tahu jawatan dan status Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden di negeri ini.

“Surat kepada Afnan tuju atas nama Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, sedangkan hampir dua tahun Afnan bergelar Ahli Parlimen Alor Setar dan tidak lagi memegang jawatan itu. Sekarang ini disandang oleh Zulkifli Yahaya.

“Kepada Akmal, cermin-cerminlah diri sebelum melabelkan Sanusi sebagai dangkal. Kes ‘ding dong ding dong’ pasal  jemputan ‘team’ MB pada  perlawanan persahabatan bola sepak, di Taman Pekatra, DUN Sungai Bakap, Ahad lalu pun dah ternyata banyak sangat dolak-dalihnya.

“Adalah dinasihatkan selepas ini semak dan periksa surat atau tulis sendiri surat agar tidak lagi silap sehingga buat macam-macam cerita dongeng, ataupun lantik semula pegawai yang lebih kompeten dan tidak memalukan beliau sebagai Timbalan Menteri,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -