
SELAMAT Tahun Baru 1446 Hijriyah buat semua muslimin dan muslimat.
Pesan Imam Hasan al-Basri:
إنما أنت أيام . إذا ذهب يومك ذهب بعضك
yang bermaksud “sesungguhnya dirimu adalah himpunan hari-hari, apabila berlalunya satu hari daripada dirimu, maka berlalulah sebahagian daripada kehidupanmu.”
Dalam erti kata yang lain, pertambahan hari membawa kepada pertambahan usia. Semakin banyak usia kita hidup di dunia bermakna semakin hampirlah kita dengan kematian.
Hal ini bukanlah untuk disedihkan mahupun ditakuti kerana kesedihan dan ketakutan tidak membawa apa-apa perubahan melainkan kita harus bersiap sedia untuk menghadapi kematian yang akan membawa kita kepada kehidupan yang abadi.
Selain ibadat sama ada fardu mahupun sunat, bekalan yang harus dibawa ke sana ialah jasa baik atau sumbangan kita kepada masyarakat.
Bagi orang awam, khidmat bakti yang seperti itu boleh dianggap sebagai sumbangan namun bagi seseorang pemimpin, ia adalah tanggungjawab.
Dalam melaksanakan tanggungjawab itu pada hari-hari biasa, kita mungkin selalu terleka namun pada permulaan tahun baru, inilah masanya untuk kita bermuhasabah, menilai semula niat dan pelaksanaan tanggungjawab kita dalam hubungan dengan Allah SWT (حبل من الله) dan sesama manusia (حبل من الناس).
Mengingati kematian tidak harus dimanifestasikan dengan sikap pasrah atau berputus asa untuk meneruskan kehidupan. Umat Islam tidak diajar untuk memberi tumpuan kepada akhirat semata-mata hingga mengabaikan urusan dunia.
Apa yang perlu ialah bekerja kuat untuk menang dalam kehidupan dunia dan pada masa yang sama menjadikan ia sebagai bekalan untuk hidup di akhirat.
Dunia ini penting tetapi akhirat lebih penting. Mengusahakan dunia yang lebih baik untuk dinikmati oleh masyarakat, insya Allah akan jadi bekalan yang berterusan untuk kita nikmati ganjarannya di sana.
Tahun baru adalah sebaik-baik permulaan untuk kita memasang azam baru bagi melakukan sesuatu dengan lebih baik dan bersungguh-sungguh.
Selamat Tahun Baru Hijriyah 1446
Salam hormat
MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 7/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!