‘Pelik media lebih fokus kepada perintah DNA Pengasas KK Mart’

Nazrul Nadzir (kanan)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Cuma saya pelik, kenapa kebanyakan media Malaysia lebih berminat untuk ‘highlight’ (menfokuskan laporan) berkenaan Pengasas KK Mart dilepas dan dibebaskan (DNA), berbanding Pengurus Besar KK Mart dan Pengarah Syarikat Pembekal yang mengaku bersalah dan dikenakan denda.”

Itu antara persoalan yang disuarakan oleh peguambela dan peguamcara, Nazrul Nadzir mengulas mengenai laporan  media tempatan yang pada pengamatannya lebih memfokuskan kepada keputusan perintah DNA terhadap Pengasas Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. (KK Mart), Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui serta tiga yang lain berhubung isu stoking yang tertera kalimah ‘Allah’.

- Advertisement -

Tiga pengarah syarikat pembekal stoking berkenaan, Xin Jian Chang Sdn. Bhd. turut mendapat perintah DNA selepas pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan ke atas lima individu berkenaan.

“Saya khuatir jika ia akan membangkitkan sentimen sesetengah pihak dan menyebabkan ketidakharmonian bila berita tersebut tidak dibaca secara penuh. 

“Adakah terdapat arahan daripada suatu pihak untuk media-media Malaysia sengaja ‘highlight’ point tersebut? Saya tak tahu. Itu andaian sahaja,” katanya yang juga merupakan Timbalan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor.

Menurut beliau, apa yang dilakukan oleh mahkamah dengan melepas dan membebaskan (DNA) kelima-lima individu yang terbabit itu adalah betul kerana pihak pendakwa sendiri sudah tidak berhasrat untuk meneruskan hukuman.

“Mahkamah tiada pilihan lain selain melepas dan membebaskan kelima-lima tertuduh. Jadi, keputusan mahkamah juga adalah betul dan mengikut lunas perundangan,” ujarnya. 

Terdahulu, dalam pertuduhan tersebut, kelima-lima tertuduh telah mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan dakwaan kes berkenaan dan telah didenda masing-masing sebanyak RM60,000; serta diarahkan membayar denda tersebut dalam tempoh tiga hari.

Nazrul dalam pada itu menegaskan, peruntukan dalam Seksyen 298 Kanun Keseksaan sangat spesifik, yang mana salah satu elemen pembuktian untuk kesalahan dalam seksyen ini adalah perbuatan tersebut (melukakan perasaan agama seseorang) mesti dilakukan dengan ‘sengaja’ dan dengan ‘niat’.

“Sangat susah untuk pendakwaan membuktikan bahawa perbuatan tersebut dibuat oleh kelima-lima individu terbabit dengan sengaja dan dengan niat, berdasarkan fakta bahawa hanya beberapa  pasang sahaja stoking tersebut yang wujud dan dijual di sebahagian premis KK Mart.

“Boleh jadi ia dibuat tanpa pengetahuan kelima-lima mereka. Maka, elemen sengaja dan elemen niat sudah boleh dipatahkan dan mereka boleh dilepaskan daripada pertuduhan.

“Apapun nasihat saya, berhati-hati dalam mengulas isu ini. Nak teruskan boikot, silakan. Itu hak setiap warganegara. 

“Cuma jangan mudah terpengaruh dengan sentimen tanpa membaca berita sebenar, risau akan menyebabkan ketidakharmonian dalam negara nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -