
KUALA LUMPUR: Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) menegaskan kepentingan menggantikan paip dasar laut yang menghubungkan Perlis ke Langkawi, yang kini telah berusia 27 tahun dan sering mengalami kebocoran.
Katanya, paip sepanjang 37 kilometer itu dilaporkan sering bocor, bukan sahaja di sepanjang tujuh kilometer tertentu.
Menurutnya, maklumat yang diterimanya menyatakan bahawa pembaikan paip itu memerlukan keadaan arus laut dan ombak yang tenang, yang hanya membolehkan proses pembaikan dilakukan dua kali sebulan.
Beliau menyuarakan isu tersebut semasa mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
“Apakah kerajaan tidak memikirkan untuk menukar terus, sah 27 tahun umurnya, tentu sekali bocor di sana, bocor di sini.
“Manusia pun jika umur 27 tahun, sakit di sana, sakit di sini, apakah kerajaan berhasrat untuk membantu SADA untuk menukar terus submarine cable ini,” katanya.
Beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan langkah menggantikan paip dasar laut tersebut demi memastikan bekalan air di Langkawi tidak terjejas pada masa akan datang.
Menjawab persoalan itu, Akmal Nasrullah berkata, kekangan utama berada di peringkat negeri, terutamanya dari segi kos tanggungan. – HARAKAHDAILY 15/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!