
KUALA LUMPUR: Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) adalah program yang amat baik kerana boleh meningkatkan pengetahuan dan kepakaran graduan undang-undang khususnya dari luar negara ataupun yang memperoleh ijazah daripada universiti luar negara yang beroperasi di Malaysia.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membangkitkan adakah kerajaan mengkaji bagaimana syarat lulus untuk menduduki CLP kerana peperiksaan itu amat ketat.
“Mereka perlu belajar 12 matapelajaran, kemudian perlu menjalani CLP ini selama sembilan bulan. Pada 2020 menurut rekod yang saya ada markah penuh lulus kurang daripada 20 peratus, hanya 219 orang saja, manakala lulus bersyarat terdiri 227 daripada 1,000 orang.
“Selain itu, yuran CLP ini amatlah mahal sekitar RM20,000. Saya boleh mengesahkan perkara ini kerana saya merupakan salah seorang pembayar pengisytiharan faedah.
“Sehinggakan ada seorang pelajar daripada Universiti of London, Suresh Kumar terpaksa bawa kes ke mahkamah tinggi kerana tidak dibenarkan menduduki peperiksaan disebabkan tidak mencukupi syarat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Takiyuddin berkata, apabila kes Suresh diselidik dengan memperoleh ijazah kepujian kelas kedua (bawah) tetap tidak dibenarkan untuk menduduki CLP.
“Pergi ke mahkamah, mahkamah menolak permohonan dia untuk dibenarkan duduk di sini. Jadi apa peranan kerajaan untuk mengimbangi di antara keperluan undang-undang dan juga belas ihsan kepada graduan undang-undang ini?” katanya.
Terdahulu, dalam soalan asal, Chaa Kee Chin (PH-Rasah) meminta Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) menyatakan jumlah pendapatan daripada wang pembayaran kemasukan yuran pendaftaran yang telah diterima untuk CLP.
Timbalan menteri berkenaan, M Kulasegaran berkata, beliau tidak mengetahui akan kes yang dihadapi oleh Suresh.
Kula berkata, pihak kementeriannya akan menyemak semula kes ini dan menekankan bahawa keperluan untuk pelajar CLP mencapai markah yang bagus supaya mereka dapat menjalankan tugas sebagai peguam dengan betul. – HARAKAHDAILY 10/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!