
KUALA LUMPUR: “Ia adalah isyarat jelas penolakan rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN yang) menyusah dan merimaskan rakyat.”
Itu penegasan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengulas kemenangan calon PN, Abidin Ismail dalam PRK Sungai Bakap yang menurutnya impak susulan isu rakyat yang termasuklah penyasaran subsidi diesel yang menyebabkan kenaikan harga barang dan menambahkan beban rakyat.
“Juga kedegilan kerajaan meneruskan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikaitan dengan syarikat pro-Israel, BlackRock Inc. (BlacRock), walaupun ditentang hebat oleh rakyat; dan kegagalan kerajaan melaksanakan janji-janji reformasi institusi malah semakin mencengkam kebebasan rakyat.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, Perikatan Nasional (PN) menang besar dalam PRK Sungai Bakap.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pengundi-pengundi Sungai Bakap yang telah mengundi calon PN, Abidin Ismail.
“Sokongan padu anda telah membolehkan PN mencatatkan majoriti yang lebih besar dalam PRK ini,” katanya dalam satu kenyataaan.
Menurut beliau, kemenangan PN ini adalah tanda keyakinan rakyat terhadap perjuangan PN dalam membela nasib mereka.
Tambahnya, keputusan PRK Sungai Bakap menunjukkan pengundi bijak menilai.
“Mereka (pengundi) tidak termakan dengan sogokan dan pujukan PH-BN. Malah, tindakan PH-BN yang menyalahgunakan jentera kerajaan secara besar-besaran untuk meraih undi juga tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada parti itu.
“Tahniah kepada calon PN atas kemenangan yang amat bermakna ini dan terima kasih kepada semua jentera PN dari parti BERSATU, PAS, GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), rakan-rakan badan bukan kerajaan, tokoh-tokoh masyarakat serta individu yang telah bekerja keras untuk memastikan kemenangan PN,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!