
KUALA LUMPUR: Kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail dengan majoriti 4,267 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Sungai Bakap menunjukkan ‘gelombang rakyat’ yang akan bergerak ke PRK Nenggiri dan seluruh Malaysia.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, malah sekiranya Perdana Menteri ke-10 (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahu membuat Pilihan Raya Umum pada hari ini, ‘gelombang rakyat’ akan menceritakan yang sebenarnya rakyat tidak berpuas hati.
Menurut beliau, walaupun parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menyatakan ‘gelombang rakyat’ tidak wujud sebelum ini, namun hari ini menunjukkan sebaliknya dengan lebih hebat.
“Rakyat tidak puas hati. Orang Umno juga menyatakan kepada kepimpinan mereka, mereka tak puas hati dengan kepimpinan Umno kerjasama dengan DAP. Jadi, semua ini gabungan (yang) kita lihat satu majoriti yang cukup tinggi. Luar biasa,” jelas beliau dalam media sosial miliknya.
Beliau berkata, kempen parti politik yang dibuat pada kali ini agak dahsyat, di mana satu peti undi tamat pada pukul lima petang, tetapi penyokong-penyokong tidak mahu bergerak dan terus menyatakan slogan masing-masing sehingga jam tujuh.
“Jam tujuh barulah mereka beredar. Mungkin pada masa itu mereka dah dengar petanda-petanda bahawa di peti undi yang berkenaan, kita (PN) menang.
“Saya tunggu saya lihat kempen di kalangan penyokong kali ini cukup dahsyat, kemenangan yang telah ditunjukkan ataupun yang telah kita dengar tadi menunjukkan ini adalah gelombang rakyat, gelombang rakyat ini telah berlaku pada pilihan raya yang lepas,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Arau.
Beliau menzahirkan kesyukuran kepada Allah atas kemenangan tersebut dan berterima kasih kepada pengundi yang mengundi calon PN di Sungai Bakap sama ada daripada Umno, PAS, Bersatu, DAP, PKR.
“Malah tadi saya ambil gambar ramai dengan orang orang Cina. Orang India yang menyatakan bahawa mereka menyokong calon nombor dua (daripada) PN.
“Terima kasih kepada penyokong-penyokong yang dengan cara sukarela datang daripada pelbagai negeri. Kami datang orang kata bukan ada apa-apa peruntukan.
“Kami datang hanya dengan semangat juang dibanding dengan mereka jentera kerajaan telah bermati-matian menyokong mereka.
“Saya tak dapat tengok lagi undi awal. Tapi undi awal itu yang berlaku sebelum ini di mana kita kalah undi awal. Maka kita lihat trend undi awal ini harus dilihat semula,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 7/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!