Abang Abidin terus bermotivasi menuju garis penamat

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Abang Abidin berharap kemeriahan pesta demokrasi PRK N.20 DUN Sungai Bakap diserlahkan dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi pada Sabtu, 6 Julai ini.

- Advertisement -

Kepada pengundi anak muda khususnya, beliau menyeru agar mereka berusaha memastikan untuk keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab tersebut dan berhasrat melihat peratusan melepasi 80 peratus.

“Jadi yang duduk jauh, anak-anak yang duduk jauh, panggil mereka balik mengundi. Itu tanggungjawab kita, insyaAllah. Ibu bapa yang ada anak bekerja tempat lain, tapi mengundi sini, harap dapat pastikan mereka pulang,” ujar beliau.

Mesra dipanggil sebagai Abang Abidin, beliau turut mengulas kesungguhan para petugas jentera di setiap Unit Daerah Mengundi (UDM) yang dilihatnya cukup bersemangat dalam melaksanakan kerja.

Beliau melahirkan rasa gembira melihat para petugas PN datang daripada seluruh negara bagi membantu kempen tersebut sebagai petugas bantu negeri dan bersama berukhuwah dengan para petugas tempatan.

Berkenaan reaksi para pengundi ditemuinya, beliau memberitahu bahawa mereka memberi reaksi positif kepadanya selain turut meluahkan isu dan permasalahan yang dihadapi.

“Hampir setiap pengundi melahirkan rasa marah terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutama berkaitan ekonomi negara, kos sara hidup, kenaikan harga barang dan caj air hingga 200 peratus,” ujarnya.

Ditanya mengenai dirinya mengharungi kempen yang semakin hampir di penghujung, beliau mengakui masih bertenaga dan berstamina walaupun berjadual padat dan akan meneruskan momentum itu.

“Nak suruh saya lari pun boleh lagi. Alhamdulillah, Allah bagi saya kuat, ada tenaga. Harap sahabat-sahabat terus doakan saya sihat hingga ke garisan penamat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -