
ALLAH menghantar nabi-nabi kerana berlaku syirik. Percaya kepada dua Tuhan atau dualism seperti Tuhan cerah dan Tuhan gelap, contohnya kepercayaan Zoroaster tentang Ahura Mazda.
Setelah itu, datangnya Trimurti dan Trinity dalam kepercayaan Kristian iaitu percaya kepada tiga Tuhan. Serampang yang mempunyai tiga cangkuk melambangkan kepercayaan seseorang kepada tiga Tuhan iaitu Brahma, Vishnu dan Shiva.
Polytheism menyembah Tuhan yang banyak. Dalam al-Quran, ia disebut sebagai musyrikin. Semasa zaman Nabi, ada tiga ratus enam puluh berhala di sekeliling Kaabah. Ada bermacam-macam rupa seperti helang, singa, harimau, manusia dan sebagainya.
Hindu juga yang asalnya Trimurti kemudian beralih kepada polytheism. Tokong Hindu ada macam-macam bentuk seperti kurus, gemuk dan perut buncit.
Jadi, Allah ingin menjelaskan bahawa hakikat akidah manusia ialah tauhid. Tauhid inilah yang dibawa oleh Nabi dan Rasul supaya kita menerima Tuhan sebagai ‘Rabbukum’. Ia dijelaskan dalam aspek Rububiyah. Tuhan itu wujud, Maha Berkuasa dan menjaga alam.
Allah mahu kita menyembah-Nya. ‘Fa’budun’ mengikut aspek Uluhiyah iaitu mengabdikan diri kepada-Nya. Sebab orang bukan Islam percaya Tuhan ada, tetapi dia tidak menyembah-Nya.
Ditanya kepada Quraisy, mengapa mereka menyembah banyak Tuhan. Mereka menjawab, mereka tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya berhala itu mendampingkan mereka kepada Allah sehampir-hampirnya.
Ibarat kita nak berjumpa Raja, kita tidak boleh berjumpa secara terus kerana Raja tidak mengenali kita. Jadi, kita perlu mencari orang yang boleh menolong kita.
Mereka berasa jahat dan banyak dosa, tidak boleh menghadap Tuhan secara terus, jadi mereka mencari berhala sebagai perantaraan.
Maka, kita juga haruslah beringat dalam kaedah tawassul. Daripada situlah kita boleh terpesong. Tidak salah untuk bertawassul, tetapi kaedah kita bertawassul yang menjadi masalah. – HARAKAHDAILY 29/6/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!