
KOTA BHARU: Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah menyifatkan penolakan Mahkamah Tinggi terhadap injunksi dibuat bekas ADUN Nenggiri, semalam selaras dengan peraturan.
Katanya, mahkamah menolak permohonan Mohd Azizi Abu Naim untuk menangguh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.
“Bekas ADUN terbabit tidak boleh menghalang SPR melaksanakan tugas mengikut Perlembagaan bagi mengadakan pilihan raya kecil selepas berlaku kekosongan kerusi,” katanya ketika dihubungi di sini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan Mohd Azizi bagi menghentikan PRK DUN terbabit daripada diadakan.
Baru-baru ini, bekas ADUN Nenggiri mengemukakan saman pemula bagi memohon perisytiharan beliau masih lagi penyandang kerusi DUN terbabit.
Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos, manakala hari penamaan calon 3 Ogos.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pengundian awal ditetapkan pada 13 Ogos dan menggunakan daftar pemilih bertarikh sehingga 18 Jun 2024.
Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, PAS Kelantan sudah membuat persediaan awal bagi menghadapi PRK tersebut.
“Saya juga percaya BN akan mengemukakan calon mereka sendiri dan tidak pilih orang yang khianat terhadap parti menjadi calon,” ujarnya.
Bagaimanapun, kata beliau peluang untuk menang bergantung PRK Nenggiri bergantung kepada calon yang akan ditampilkan mewakili Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, sekiranya silap pilihan calon ia boleh memberi kesan sebaliknya. – HARAKAHDAILY 28/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!