Pesawat dinaiki Naib Presiden Malawi hilang dari radar

Saulos Chilima. (FOTO: VOA News)
- Advertisement -

LILONGWE: Pesawat membawa Naib Presiden Malawi, Saulos Chilima dan sembilan penumpang lain dilaporkan hilang dari radar selepas berlepas dari ibu negara pada pagi Isnin.

Beliau yang menaiki pesawat ketenteraan itu telah berlepas pada jam 9.17 pagi waktu tempatan dan dijadualkan untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Mzuzu, utara negara berkenaan pada 10 jam pagi.

Namun, pesawat berkenaan diarahkan untuk berpatah balik ke ibu negara selepas tidak dapat mendarat akibat daripada kadar penglihatan yang rendah, lapor Reuters.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun, pesawat berkenaan dilaporkan hilang dari radar tidak lama selepas itu dan usaha pihak berkuasa penerbangan untuk menghubungi pesawat berkenaan juga tidak berjaya.

Sementara itu, Presiden Malawi, Lazarus Chakwera dalam kenyataannya lewat Isnin berkata, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga pesawat berkenaan ditemui.

“Askar masih di darat menjalankan pencarian dan saya telah memberi arahan tegas bahawa operasi itu perlu diteruskan sehingga pesawat ditemui. Ia adalah keadaan yang menyayat hati.

“Saya tahu bahawa kita semua takut dan bimbang, saya juga bimbang. Tetapi saya ingin memberi jaminan bahawa saya tidak mempunyai sumber yang tersedia untuk mencari pesawat itu dan saya berpegang pada setiap harapan bahawa kita akan menemui mangsa yang terselamat,” katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya telah menghubungi negara-negara jiran bagi membantu usaha mencari dan menyelamat termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Norway.

Saulos Chilima dijadualkan hadir ke utara negara berkenaan mewakili pihak kerajaan bagi menghadiri upacara pengebumian bekas menteri, Ralph Kasambara yang meninggal dunia tiga hari lalu akibat kegagalan jantung. -Agensi – HARAKAHDAILY 11/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -