
PERPADUAN kaum di Malaysia adalah sebahagian daripada sejarah dan warisan negara. Kita mewarisi identitI ini lebih 60 tahun dahulu. Kita perlu sedar bahawa latar belakang Malaysia yang unik ini boleh menjadi keistimewaan jika diuruskan dengan baik.
Namun menyedihkan, elemen pendidikan yang boleh menjadi instrumen penyatuan telah acap kali dijadikan alat untuk merobek perpaduan di Malaysia.
Terkini, tindakan 11 Lembaga Sekolah, PIBG SMJK dan SMC di Pulau Pinang tidak mencerminkan kesungguhan untuk memartabatkan Bahasa Melayu sedangkan ini adalah sebahagian daripada dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang telah menjadi polisi Pendidikan negara.
Lebih malang lagi apabila dikhabarkan bahawa komponen parti pemerintah sendiri yang didakwa menjadi tulang belakang kepada penentangan ini.
Pihak tidak bertanggungjawab ini telah menyatakan ketidak akuran kepada arahan KPM untuk sekolah-sekolah tersebut bagi mewujudkan sekurang-kurangnya satu kelas yang melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Tindakan menolak dasar dan polisi pendidikan ini mencalarkan semangat Rukun Negara dan menyemarakkan sentimen perkauman. Ini sangat memalukan dan dikesali apabila mengimbau kembali aspirasi awal penubuhan negara ini.
Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia) mendesak Menteri Pendidikan untuk bertindak secara serius. Ini bukanlah tragedi pertama, tetapi didahului dengan isu bantahan pengajaran Jawi, bantahan penerapan Hadis 40, mempersoalkan pelaksanaan Qunut Nazilah dan operasi kantin di bulan Ramadan.
Anak Malaysia akhirnya menyeru kepada semua masyarakat berbilang kaum di Malaysia untuk saling hormat-menghormati dan menjiwai serta mencintai negara dengan sepenuh hati.
Elakkan kontroversi, provokasi dan prejudis yang boleh mencarik perpaduan yang telah terbina sekian lama.
Mohammad Rosharizan Bin Mohd Rozlan
Pengerusi
Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia) – HARAKAHDAILY 9/6/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!