Pelajar aliran tahfiz cemerlang peperiksaan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Selepas muncul sekolah terbaik peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, Maahad Tahfiz Al Quran Darul Saadah Lilbanat sekali lagi mencipta rekod sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) apabila memperolehi GPS 1.14 peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) 2023.

- Advertisement -

Tempat kedua terbaik SMU, Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Pulai Chondong dengan GPS 1.17 dan diikuti Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman GPS: 1.19.

Keputusan itu menunjukkan peningkatan pencapaian peperiksaan SMU, Sijil Menengah Ugama (SMU (DINI) dan Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ) sebanyak 2.97 peratus berbanding 1.75 peratus pada tahun 2022.

Maahad Muhammadi Pasir Pekan pula muncul sekolah terbaik kategori Maahad Pilihan dengan GPS 2.04, Maahad Syamsul Maarif (Perempuan) pula terbaik kategori Maahad Kerajaan.

Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Khairiah Banggol Setol pula terbaik bagi kategori SMU (A) dengan GPS 2.17, SMU (A) Tarbiah Islamiah Kuala Kajang terbaik kategori Sekolah Bantuan Kerajaan (SABK) dengan GPS 2.26 dan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Shah Alam terbaik kategori sekolah swasta dengan GPS 1.0.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, seramai 802 calon memperolehi pangkat mumtaz pada peperiksaan SMU daripada 5031 calon yang menduduki peperiksaan tersebut.

Menurutnya, pangkat mumtaz bagi peperiksaan SMTQ seramai 70 daripada 101 calon, SMU (DINI) 35 daripada 572 calon dan STUP seramai lima orang daripada 49 calon.

Manakala 17 pelajar daripada semua kategori peperiksaan muncul sebagai pelajar terbaik apabila memperolehi 10 mumtaz.

Wan Roslan juga berkata, keputusan itu khususnya melibatkan pelajar tahfiz al Quran membuktikan semakin banyak belajar mereka makin bijak dan pandai.

Sedangkan menurutnya, sebelum ini ada pihak kesian terhadap pelajar sekolah agama kerana terpaksa memikul bebanan mata pelajaran yang banyak, namun hasil yang diperolehi mereka terbukti cemerlang.

“Hasrat YIK khususnya kerajaan negeri tercapai apabila dapat melahirkan pelajar dengan syahsiah yang baik dan bijak,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan peperiksaan tersebut semalam.

Turut hadir Timbalan Exco Kamaruzaman Mohamad, Pengarah YIK Nik Mohd Hasanuddin Nik Hussain serta timbalan-timbalan pengarah YIK.

Menurutnya juga pelajar cemerlang SPM yang diumumkan sebelum ini juga dari sekolah tahfiz. – HARAKAHDAILY 14/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -