Kemenangan PN di Sungai Bakap wajib dikekalkan

- Advertisement -

KANGAR: Ketua Penerangan PAS Negeri, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil menyeru pengundi untuk mengekalkan kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) di Sungai Bakap sebagai isyarat jelas penolakan terhadap Kerajaan PH-BN.

- Advertisement -

Menurutnya, banyak isu yang timbul dalam Kerajaan Perpaduan mutakhir ini dan Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 DUN Sungai Bakap adalah satu signal penting daripada rakyat.

Katanya, keputusan PRK akan memberi kesan besar terhadap perkembangan semasa di peringkat nasional.

“Rakyat meletakkan harapan besar kepada kita dan kemenangan ini akan menjadi isyarat jelas kepada kerajaan persekutuan tentang ketidakpuasan hati mereka terhadap janji-janji yang belum ditepati,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa modal utama dibawa dalam PRK kali ini adalah komitmen dan legasi baik yang ditinggalkan oleh Almarhum Nor Zamri Latiff sebelum ini di mana telah dikenali dan dihormati oleh warga di Sungai Bakap.

Mengulas perkembangan kempen yang berlangsung seminggu lepas, katanya, setiap negeri menunjukkan komitmen padu dalam membantu PRK tersebut.

“Alhamdulillah, sokongan yang diterima begitu baik dari seluruh negeri yang turun membantu di Sungai Bakap. Dengan tagline ‘Sungai Bakap Kita Kekal’, kami berusaha keras untuk mencapai kemenangan,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, Perlis telah menghantar beberapa gelombang sokongan sejak sebelum hari pencalonan hingga hari pengundian.

“Setiap gelombang diketuai oleh wakil-wakil rakyat kita sendiri, menunjukkan komitmen tinggi untuk mengekalkan kerusi PN di Sungai Bakap.

“Walaupun terdapat faktor-faktor yang dibangkitkan oleh pihak lawan, kami yakin dengan sokongan yang diterima dan usaha gigih, Sungai Bakap akan kekal bersama PN,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -