
WASHINGTON: Pelakon tersohor Hollywood, George Clooney telah menelefon Rumah Putih untuk mengecam Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berhubung isu gesaan memenjarakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Clooney, 63, melakukan tindakan itu susulan Biden telah melabelkan tindakan isteri Clooney, Amal sebagai ‘keterlaluan’ kerana telah menandatangani bidaan oleh ketua pendakwa ICJ pada bulan lalu untuk mendapatkan penahanan Benjamin Netanyahu bersama pemimpin Hamas sabit kesalahan jenayah perang.
Amal, 43, seorang peguam hak asasi telah membantu Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menimbang bukti yang membawa kepada keputusan untuk mendapatkan waran tangkap bagi pemimpin tertinggi Israel dan Hamas.
Pembabitan Amal itu selepas diminta oleh pendakwa raya ICC, Karim Khan untuk menyertai panel pakar bagi menilai ‘bukti jenayah perang yang disyaki dan jenayah terhadap kemanusiaan di Israel dan Gaza’.
Kesetaraan moral Hamas-Israel
Terdahulu, Biden yang marah dengan keputusan ICC menegaskan menegaskan tidak ada ‘kesetaraan moral’ antara Israel dan Hamas dan membayangkan sekatan terhadap ICC yang mungkin menyaksikan isteri Clooney yang merupakan warga British-Lubanan dihantar pulang dari Amerika Syarikat.
Laporan lanjut Washington Post berkata, Clooney yang merupakan pelakon gred A Hollywood dan pemenang Oscar telah melepaskan kemarahannya terhadap Biden dengan menelefon kaunselor kanan Presiden AS itu, Steve Ricchetti.
“Saya tidak menerima bahawa sebarang konflik harus di luar jangkauan undang-undang, atau mana-mana pelaku harus berada di atas undang-undang,” tegas Clooney.
Pasangan Clooney itu sebelum ini sudah lama menjadi antara penyokong terbesar Biden terutama apabila pelakon itu menderma lebih daripada AS$500,000 (RM2.4 juta) untuk kempen pilihan raya Biden pada tahun 2020.
Justeru, perselisihan antara Clooney-Biden ini menimbulkan keraguan sama ada Clooney akan mengambil bahagian dalam salah satu usaha pengumpulan dana terbesar Biden bagi pilihan raya 2024 pada Sabtu depan apabila beliau sepatutnya menjadi tarikan bintang di majlis gala Los Angeles bersama-sama mantan presiden Barack Obama, pengacara TV Jimmy Kimmel dan pelakon Julia Roberts .
Tindak balas terhadap tindakan mahkamah yang tidak pernah berlaku sebelum ini berterusan pada minggu ini apabila Dewan Negara AS meluluskan rang undang-undang yang akan mengenakan sekatan ke atas ICC.
Pentadbiran Biden membimbangkan
Namun Rumah Putih telah menolak cadangan itu dengan mendakwa bahawa sekatan adalah ‘bukan jawapan yang tepat’ kepada “tindakan melampai batas’ ICC itu.
Kenyataan Rumah Putih berkata ia akan ‘menentang keras’ rang undang-undang Dewan yang didakwanya ‘boleh memerlukan sekatan terhadap kakitangan mahkamah, hakim, saksi, dan sekutu dan rakan kongsi AS yang memberikan sokongan terhad dan disasarkan kepada mahkamah dalam pelbagai aspek kerjanya’.
Speaker Dewan Rakyat AS, Mike Johnson sebelum ini telah menegur pentadbiran Biden dengan berkata, “’Adalah membimbangkan bahawa pentadbiran Biden terus melemahkan Israel dan kini, 155 Demokrat Dewan telah mengundi untuk memberi laluan percuma kepada ICC bagi menyasarkan sekutu kami dan menjejaskan kepentingan keselamatan negara AS.”
Persengketaan itu dicetuskan oleh pengumuman pada 20 Mei 2024 bahawa Karim Khan sedang berusaha untuk mendakwa Netanyahu bersama-sama menteri pertahanan Israel, Yoav Gallant; pemimpin Hamas, Yahya Sinwar dan dua lagi pemimpin Hamas sabit kesalahan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.
Khan menuduh kerajaan Israel menggunakan ‘kebuluran sebagai kaedah peperangan, bersama-sama dengan serangan lain dan hukuman kolektif terhadap penduduk awam Gaza’.
“Ia termasuk kekurangan zat makanan, dehidrasi, penderitaan yang mendalam dan peningkatan jumlah kematian di kalangan penduduk Palestin, termasuk bayi, kanak-kanak lain, dan wanita,” tambahnya.
Amal Clooney bantu Karim Khan
Tidak lama kemudian muncul Amal Clooney yang merupakan seorang peguam hak asasi manusia terkenal dan berprofil tinggi, sebagai salah seorang daripada enam pakar undang-undang yang membantu Karim Khan membuat keputusannya untuk ICC.
“Saya menyokong langkah bersejarah yang telah diambil oleh Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (Karim Khan) untuk membawa keadilan kepada mangsa kekejaman di Israel dan Palestin,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Yayasan Clooney yang ditubuhkan secara bersama oleh Amal dan George Clooney pada 2016.
“Sebagai seorang peguam hak asasi manusia, saya tidak akan pernah menerima bahawa nyawa seorang kanak-kanak mempunyai nilai yang lebih rendah daripada nyawa yang lain.
“Saya tidak menerima bahawa sebarang konflik harus berada di luar jangkauan undang-undang, atau mana-mana pelaku harus berada di atas undang-undang,” tegas Amal.
Sementara itu, George Clooney dan Biden sudah mengenali antara satu sama lain selama bertahun-tahun dan pada Disember 2022, Clooney telah dianugerahkan pingat kebesaran Kennedy Center Honors.
Beberapa bulan kemudian, Biden melantik Clooney ke dalam Jawatankuasa Presiden mengenai Seni dan Kemanusiaan.
Israel atau AS tidak mengiktiraf ICC tetapi, jika waran dikeluarkan, Netanyahu, Gallant dan pemimpin-pemipin Hamas akan ditangkap sekiranya mereka melawat mana-mana daripada 122 negara yang menyatakan persetujuan kepada keputusan ICC berkenaan.
Sejak perang Hamas-Israel tercetus pada 7 Oktober 2023 di Gaza, lebih 36,000 orang awam terkorban akibat serangan oleh tentera Israel di Gaza.I
Israel sebelum ini telah menyelar tindakan ICC sebagai ‘tidak berasas’ terhadap negara itu, manakala Presiden negara haram itu, Isaac Herzog menyifatkan tindakan itu sebagai ‘keterlaluan’, menegaskan ia ‘tidak boleh diterima oleh sesiapa pun’.
“Tindakan ICC itu tidak akan menghalang Israel daripada mempertahankan dirinya dan mencapai semua objektif perangnya secara adil di Gaza,” kata kenyataan tentera Israel.
Hamas juga dilaporkan menolak tindakan ICC dengan mengatakan ia mengecam sekeras-kerasnya percubaan mahkamah itu untuk menyamakan taraf mereka dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Israel. – Agensi-HARAKAHDAILY 7/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!