Israel serang Syria, Hizbullah Lubnan ‘bakar’ Israel  

Kebakaran besar akibat roket yang dilancarkan dari Lubnan ke utara Israel, bersebelahan bandar Kiryat Shmona berhampiran sempadan Lubnan pada 3 Jun 2024. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

ALEPPO/BAITULMAQDIS: Beberapa orang dilaporkan terbunuh dalam serangan peluru berpandu terbaharu yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel ke atas bandar Aleppo di Syria.

Serangan oleh tentera udara Israel menyasarkan pinggir bandar Syria Aleppo yang terletak 360 kilometer dari ibu negara Syria, Damsyik, lapor agensi berita Rusia, TASS.

- Advertisement -

Menurut laporan itu lagi, Israel melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sasaran darat, dengan letupan kuat kedengaran. Sementara, pertahanan udara Syria membalas serangan dan mengena sasaran beberapa peluru berpandu Israel.

Sumber di Kementerian Pertahanan negara itu berkata bahawa Israel telah melancarkan serangan di pinggir tenggara Aleppo pada jam 00:20 pagi waktu tempatan (9:20 malam GMT pada 2 Jun). 

“Akibat pencerobohan udara, beberapa orang terbunuh dan terdapat kerosakan material,” katanya.

Sejak awal tahun ini, rejim Israel telah menyerang Syria sebanyak 34 kali.

Sementara itu, Reuters melaporkan, kawasan besar di utara Israel utara dilahap api marak susulan serangan roket yang dilancarkan  oleh kumpulan pejuang Hizbullah Lubnan, dengan pasukan penyelamat bertempur pada Isnin (3 Jun) untuk mengawal kebakaran.

Ramai warga Israel yang tinggal di bandar berhampiran sempadan Lubnan telah dipindahkan beberapa bulan lalu berikutan pertempuran yang semakin memuncak antara Israel dan Hizbullah.

Media Israel pula melaporkan beberapa kecederaan ringan dialami penduduk dan beberapa rumah telah terbakar.

Cuaca panas dan kering menyebabkan api lebih sukar untuk dikawal, dengan pihak berkuasa Israel berkata pada Isnin bahawa kebakaran telah meliputi ratusan ekar. 

Perkhidmatan bomba negara haram itu berkata,  anggota bombanya beroperasi sehingga larut malam di beberapa tempat, termasuk di bandar Kiryat Shmona, lokasi di mana mereka cuba melindungi barisan rumah penduduk.

Polis Israel pula berkata, mereka menutup jalan raya dan memberitahu penduduk yang masih berada di kawasan itu untuk menyelamatkan diri masing-masing. – Agensi/HARAKAHDAILY 4/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -