Hapus subsidi diesel: Tindakan maha terkutuk

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan keputusan Kerajaan Madani diketuai Pakatan Harapan (PH) menghapuskan subsidi diesel sebagai tindakan maha terkutuk.

“Ketika (harga) diesel naik 3 sen zaman (Perdana Menteri) Datuk Sri Najib (Razak), dia (PH) kata ini tindakan terkutuk. Hari ini diesel naik RM1.20, tindakan itu boleh diisytiharkan sebagai maha terkutuk.

“Tanpa syak dan ragu, kita boleh nobatkan ini kerajaan yang sedang melakukan tindakan yang maha terkutuk,” kecam beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam satu reaksi di media sosialnya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semalam, mengumumkan keputusan kerajaan melaksanakan tindakan dinamakan sebagai langkah penyasaran subsidi diesel yang bermula tengah malam tadi.

Sehubungan itu, harga diesel meningkat kepada RM3.35 seliter berbanding RM2.15 sebelum ini, iaitu bertambah sebanyak RM1.20 seliter di mana harga itu dijangka dikemas kini mengikut minggu sama seperti harga petrol RON.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan yang merupakan portfolio utama bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut merupakan antara individu paling lantang menentang kenaikan harga bahan api.

Beliau malah cukup popular dengan ucapan tegas yang meyakinkan rakyat ketika menjadi pembangkang dahulu dengan janji menurunkan harga bahan api petrol dan diesel dalam masa kurang 24 jam sekiranya diangkat sebagai kerajaan.

Bagaimanapun ketika Pakatan Harapan memenangi PRU14 dan menjadi kerajaan, beliau memberi alasan bahawa harga bahan api tidak dapat diturunkan kerana beliau belum dilantik sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Namun kini, setelah lebih setahun beliau sebagai Perdana Menteri, tiada sebarang langkah dibuat untuk menurunkan harga petrol dan diesel, sebaliknya kerajaan beliau merancang ke arah mengurangkan subsidi berkenaan.

Antara pemimpin kerajaan kini yang turut lantang mengecam rancangan pemansuhan subsidi terutama ketika zaman Datuk Sri Najib adalah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika beliau sebagai Naib Presiden PKR ketika itu. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -