
KUANTAN: Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuantan, Wan Razali Wan Nor mengingatkan semua kepimpinan parti agar cakna dengan semua pandangan dan teguran ahli.
Menurutnya, setiap idea dan cadangan yang telah dilontarkan oleh para perwakilan hendaklah diteliti dan dilaksanakan segera dan mengikut keutamaan.
Beliau menyatakan demikian dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kuantan kali ke-36 yang diadakan di Kampung Peramu, dekat sini kelmarin. Mesyuarat agung itu dirasmikan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.
Ahli Parlimen Kuantan itu juga menyentuh tentang sikap supaya jangan membuat kerja tanpa perancangan di samping mendekati masyarakat.
“Kita mesti mendekati dan melihat kebajikan masyarakat agar ‘zero’ rasa fobia mereka dengan PAS terutama daripada golongan bukan Islam,” katanya.
Di samping itu, ujarnya setiap ahli perlu mengaplikasikan budaya ilmu, haraki dan sufi dalam meningkatkan kekuatan dalaman
“Setiap ahli perlu mengaplikasikan budaya ilmu, haraki dan sufi dalam meningkatkan kekuatan dalaman diri sama ada dalam bentuk usrah atau program dalaman parti yang tersusun dan berperancangan,” ujarnya lagi.
Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan, Abd Rahman Mat Noor pula menyeru seluruh tenaga anak muda perlu bangkit dan berjalan sederap bersama jentera PAS untuk memperkuatkan parti.
Pemuda juga, ujarnta mesti walak kepada arahan pimpinan dan bersedia melaksanakan gerak kerja pada bila-bila masa sahaja.
“Pemuda perlu menjadi jentera yang sentiasa siap siaga, walak pada arahan pimpinan dan bersedia melaksanakan gerak kerja pada bila-bila masa sahaja. Kalian pelapis masa depan parti,” ujarnya pada sesi ucapan penangguhan.

Sementara Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan, Ustazah Rosmani Mustafa mengingatkan warga Parlimen Kuantan yang berada di luar kawasan supaya balik mengundi dan memberikan undi kepada calon PAS pada Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang.
“Kita telah menang di Parlimen Kuantan dan DUN Tanjung Lumpur, jadi sekarang, kita sedang meningkatkan gerak kerja untuk mendapatkan DUN Inderapura yang kita kalah tipis pada PRU ke-15 lepas,” ujarnya.
Tambahnya, setiap ahli perlu menjadi juru bicara PAS termasuk menerusi media sosial (medsos) agar cahaya parti menyebar hingga ke akar umbi. – HARAKAHDAILY 4/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!