Syeikh Abdul Majid al-Zandani Tokoh Ulung al-‘Ijaaz al-I‘mi

Abdul Majid al-Zandani
- Advertisement -

SAYA mengenali tokoh hebat ini melalui kisah perjuangannya terlebih dahulu sebelum mengenalinya secara langsung. Kali pertama saya melihat wajahnya ialah melalui majalah al-Mujtama’, sebuah majalah mingguan dari Kuwait yang banyak melapor dan menganalisa politik semasa Dunia Islam termasuk juga berita mengenai tokoh pemimpin-pemimpin Gerakan Islam.

Majalah al-Mujtama’ dalam satu siri keluarannya sekitar tahun 1994 melaporkan bahawa Syeikh Abdul Majid al-Zandani menubuhkan sebuah pusat pengajian Islam yang diberikan nama Universiti al-Iman di Sana’a, Yaman. Matlamatnya ialah untuk melahirkan ulama rabbani yang memahami waqi’ semasa, dengan erti kata lain ulama haraki yang bukan sahaja mendalami ilmu syara tetapi dalam masa yang sama menggerakkan agenda islah dalam masyarakat.

- Advertisement -

Justeru tidak pelik jika dilihat senarai ahli pemegang amanah dan pensyarahnya adalah terdiri dari kalangan ulama haraki semasa seperti; Syeikh Dr.. Abdul Kareem Zaidan, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Hasan al-Dadu, Syeikh Qasim Bahr, Syeikh Muhammad bin Ismail al-Imrani, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Maulana Salman al-Nadawi dan lain-lain lagi tokoh gerakan Islam dunia.

Universiti ini mempunyai keunikannya tersendiri antaranya menggabungkan sistem turath dan moden serta pengajiannya mengambil masa selama 7 tahun. Pelajar tidak diberikan sijil sebaliknya ijazah ‘ilmiyyah dari ulama’ yang mengajar subjek masing-masing. Setiap tahun pelajar diwajibkan menyertai program praktikal selama 40 hari dihantar ke pendalaman untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat Yaman. Sesiapa yang tidak menyertainya dianggap gagal dan tidak boleh menaiki kelas berikutnya.

Syeikh Abdul Majid al-Zandani berasal dari wilawah Arhab berhampiran dengan ibu kota Sana’a. Beliau dilahirkan pada tahun 1942 dan membesar dalam suasana ilmu dan perjuangan. Di peringkat awal usianya banyak terdedah dengan ilmu syarak dengan ulama-ulama Yaman dan seterusnya menyambung pengajian dalam bidang farmasi di Universiti Ain Shams, Mesir. Ketika di Mesir beliau juga mendalami ilmu syarak dari ulama al-Azhar dan menyertai gerakan al-Ikhwan al-Muslimin sehingga dihalau keluar dari bumi Mesir.

Almarhum terkenal sebagai antara pelopor utama dalam bidang al-I’jaz al-I’lmi iaitu mukjizat al-Quran dan al-Sunnah dari sudut sains moden. Kejayaan beliau yang paling besar ialah meletakkan ilmu usul dalam bidang al-I’jaz al-I’lmi, contohnya; jika sekiranya berlaku pertembungan antara penemuan sains dengan nas syarak maka hendaklah didahulukan nas syarak.

Satu ketika, saintis astronomi mengatakan bahawa bumi yang berpusing mengelilingi matahari bukan sebaliknya sedangkan al-Quran menyebut bahawa matahari juga bergerak ke tempat yang ditentukan oleh Allah SWT. Jelas akhirnya terbukti al-Quran adalah benar.

Pengalaman Dengan Syeikh Abdul Majid al-Zandani

Almarhum terkenal seorang yang warak, tegas dan berprinsip sehingga seorang tokoh gerakan Islam pernah menyebut; jika sekiranya kamu mahu melihat keperibadian golongan awal salaf maka lihatlah Syeikh Abdul MajId al-Zandani.

Ketokohan beliau bukan sahaja dalam bidang ilmu syarak bahkan juga dalam medan jihad dan dakwah. Beliau antara tokoh awal seiring dengan Syeikh al-Zubairi yang menggerakkan gerakan jihad bagi membebaskan Yaman dari pemerintahan Komunis/Sosialis yang berpusat di Yaman Selatan.

Ketika Afghanistan dijajah oleh Soviet Union, beliau antara tokoh utama yang memimpin mujahidin dari negara Arab kerana jumlah mujahidin yang paling ramai adalah dari kalangan rakyat Yaman. Selepas syahidnya Syeikh Dr. Abdullah Azzam, beliau dilantik sebagai amir mujahiden Arab di Afghanistan.

Setelah berakhirnya jihad di Afghanistan sekitar akhir 1980 an dan awal 1990 an, beliau pulang ke Yaman dan memimpin gerakan pembaharuan bersama-sama tokoh lain termasuk bekas Presiden Republik Arab Yaman, Ali Abdullah Saleh sehingga berjaya menyatukan Yaman Selatan dan Utara lalu terbentuknya Republik Arab Yaman.

Dalam bidang politik, beliau dilantik sebagai Ketua Majlis Syura, Gerakan al-Tajammu’ al-Yamani ( al-Islah ) dan dalam masa yang sama dilantik sebagai salah seorang daripada lima penasihat Majlis Presiden Yaman yang diketuai oleh Ali Abdullah Saleh.

Beliau sangat prihatin kepada pelajar-pelajarnya agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Setiap kali munculnya isu-isu baharu di Dunia Islam, beliau dengan segera akan bangkit selepas solat jamaah memberikan komentar serta mengaitkannya dengan politik Islam agar pelajar-pelajar tidak leka dengan hanya menuntut ilmu syarak, dalam masa yang sama hendaklah mengikuti perkembangan semasa dan mempunyai mawqif terhadap setiap apa yang berlaku.

Tautan hatinya dengan al-Quran dan al-Sunnah tidak dapat dibandingkan bukan sahaja dalam bilik kuliyah dan makmal kajian bahkan juga dalam setiap pergerakannya. Setiap kali solat jamaah hatinya begitu khusyu mendengar menghayati ayat-ayat suci al-Quran bahkan setiap kali azan dilaungkan beliau khusyuk menghayatinya sehingga menitiskan air mata.

Universiti al-Iman yang diasaskannya menjadi pengkalan tokoh ulama dan pemimpin gerakan Islam yang terpaksa berhijrah dari negara asal seperti Syeikh Dr. Abdul Kareem Zaidan tokoh ulama Iraq dan Syeikh Ali Juraysyah tokoh politik semasa Dunia Islam yang berasal dari Mesir.

Dalam masa yang sama tokoh-tokoh gerakan Islam yang datang membuat lawatan akan diberikan ruang untuk menyampaikan ceramah tentang isu semasa yang berlaku di negara masing-masing. Antara tokoh-tokoh yang pernah melawat ialah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Khaleed Masyaal, Syeikh Isam al-Basyir dan ramai lagi tokoh-tokoh gerakan Islam yang lain.

Agenda penyatuan ummah menjadi keutamaannya agar umat Islam bersatu dalam perkara usul dan berlapang dada dalam perkara furu. Justeru tidak pelik, Universiti al-Iman berjaya menyatukan para ulama dalam pelbagai lapangan mazhab dan pemikiran dan menjadi tumpuan dikalangan pelajar-pelajar dari seluruh Dunia Islam untuk menuntut serta mendalami pelbagai cabang ilmu di universiti tersebut.

Namun sedihnya ketika ini penyatuan dan kesatuan Dunia Islam kini berada di tahap yang paling rapuh. Apa yang berlaku di Palestin ketika ini menyerlahkannya kerana jika Dunia Islam bersatu padu, isu penjajahan Zionis Yahudi di bumi Palestin sudah lama ditamatkan dan Palestin telah menjadi bumi yang bebas dan merdeka.

Cukuplah Dunia Islam diperdaya dan dilunakkan musuh-musuh Islam yang hanya ingin mengambil kesempatan. Kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar, kerana dengan Islam sahaja mampu menyatu dan menguatkan kembali yang rapuh dan luluh. Jika Dunia Islam bersatu, bukan hanya Palestin malah seluruh Dunia Islam akan bebas dan merdeka serta mampu meletakkan kembali Islam ke persada utama di seluruh dunia.

Adil, Prihatin dan Berkebajikan.

YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 2/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -