
HULU SELANGOR: Sebanyak 50.87 peratus pengundi berdaftar telah selesai mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Kecil (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) setakat pukul 3 petang tadi.
Sementara itu, sebuah daripada 18 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) hari ini ditutup awal, pada jam 2 petang.
Pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Fraser dengan 40 orang pengundi berdaftar telah ditutup, manakala baki 17 lagi pusat pengundian akan ditutup pada 6 petang ini.
Penutupan pusat pengundian itu disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuhanas Auree Kamaruddin.
Peti undi kemudian akan dibawa oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini.
Sementara itu, menurut SPR peratusan keluar mengundi yang direkod setakat jam 1 tengah hari tadi ialah 38.88 peratus, manakala jam 2 petang tadi ialah 44.68 peratus.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Khairul Azhari Saut (PERIKATAN NASIONAL), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas). – HARAKAHDAILY 11/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!