
SEREMBAN: Kamarol Ridzuan Md Zain (PN-Paroi) meminta agar kerajaan dapat membina sebuah stadium mini bagi kemudahan penduduk di sekitar Taman Pinggiran Senawang.
Perkara itu diajukannya sewaktu soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan Persidangan DUN Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Dalam soalan asalnya, beliau meminta penjelasan mengenai sebidang tanah milik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di taman itu yang digunakan sebagai padang permainan awam, tetapi dikatakan bakal dijual untuk pembangunan komersial.
“Memandangkan tapak padang ini telah digunakan sebagai padang bola, gelanggang futsal, trek jalan, riadah dan juga taman permainan, cadangan saya mohon sangat-sangat kerajaan buatlah stadium mini di tapak ini yang berkeluasan lima ekar.
“Kerana ada tiga taman besar merangkumi Taman Pinggiran Senawang, Taman Senawang Perdana dan juga Taman Bukit Senawang yang ada lebih kurang 3,000 ke 5,000 unit rumah,” ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, Arul Kumar dalam jawapannya berkata, kerajaan negeri tidak bercadang untuk menjual tanah tersebut kepada swasta.
“Ikut kawasan tersebut memang mempunyai 15 lot kawasan lapang dan juga rekreasi yang menawarkan kemudahan padang bola sepak dalam radius 2 kilometer dan 15 lot ini dijadikan sebagai tapak padang permainan jumlah keluasannya adalah 32.78 ekar.
“Keperluan itu memang ada dekat sana dan juga ada 15 kawasan. Cadangan untuk kawasan yang dinyatakan tadi itu kita akan mempertimbangkan mengikut kemampuan kita pada masa yang akan datang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!