Kelemahan program ‘Jualan Rahmah’ perlu diatasi

- Advertisement -

SEREMBAN: Ustaz Abdul Fatah Zakaria (PN-Bagan Pinang) meminta agar kerajaan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mengatasi masalah kelemahan program ‘Jualan Rahmah’ pada masa kini.

- Advertisement -

Menurut beliau, ia bagi mengelakkan rakyat berasa kecewa apabila mereka gagal mendapatkan barang keperluan yang ingin mereka beli akibat daripada kelemahan penganjuran tersebut.

Tambahnya, walaupun program itu pada dasarnya dilihat memberi impak yang besar kepada rakyat, namun tidak dari sudut keberkesanannya disebabkan berlaku beberapa kelemahan.

“Perlaksanaannya lebih kepada melepaskan batuk di tangga. Sebab kadang-kadang jualan itu bermula jam 7:00, (tetapi) jam 8:00 dah ‘clear’.

“Saya mohon kepada Exco Kanan supaya menambahkan waktu dan juga jualan supaya kita melihat bahawa rakyat di sana hadir dengan hati terbuka dan rasa tidak kecewa,” ujarnya.

Tambahnya, sebagai seseorang yang memerlukan barangan, mereka pasti akan kecewa apabila gagal mendapatkan barang keperluan pada hari tersebut lebih-lebih lagi makanan adalah satu perkara sensitif.

Ustaz Fatah yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan berkata demikian sewaktu Perbahasan Junjung Kasih Titah Di-Raja, Persidangan DUN Negeri Sembilan, di sini semalam.

Selain itu, tambah beliau, program tersebut seharusnya mengambil kira situasi setempat berkaitan dengan aktiviti-aktiviti lain sedang berlaku di situ yang memberi kesan kepada program tersebut.

“Contohnya di Bagan Pinang, kadang-kadang terlalu banyak pasar malam dan juga pasar tani. Jadi kita melihat bahawa perkara itu menjadi saingan kepada peniaga tersebut,” katanya.

Namun, beliau mengakui bahawa program tersebut perlu dilakukan untuk memberi satu kesan kepada penduduk-penduduk yang dikira sebagai B40 ke bawah.

“Insya-Allah mudah-mudahan kita berharap supaya kerajaan memikirkan selain daripada ‘Jualan Madani’, ‘Jualan Agro’, ‘Jualan Ladang’ apa lagi kaedah lain yang terbaik untuk menyelesaikan permasalahan ini,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -