
KOTA BHARU: Kerajaan negeri berusaha memperkasakan dasar Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) bagi melahirkan insan yang soleh dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, DPRK yang dikelola Institut Latihan Perguruan Kelantan berperanan memantapkan kefahaman, integriti dan meningkat profesionalisme penjawat awam di negeri itu.
Katanya usaha tersebut demi mencapai kebahagiaan hakiki berpandukan wahyu Allah SWT.
“Dasar pendidikan tersebut terkandung dalam dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI),” katanya pada perutusan sempena sambutan Hari Guru hari ini.
Oleh itu beliau merakam sekalung penghargaan kepada semua warga pendidik di atas dedikasi dan bakti yang dicurahkan semoga Allah SWT memberkati usaha mereka membimbing anak bangsa menjadi insan rabani.
Menurutnya juga ilmu dan jasa yang dicurahkan guru pernah ditimbanya sebelum ini.
“Tanggal 16 Mei merupakan tarikh istimewa buat insan bergelar murabi. Hari Guru disambut sebagai penghargaan dan penghormatan yang mendalam di atas khidmat bakti guru.
“Rasulullah s.a.w merupakan tokoh murabi ulung membimbing umatnya menjadi insan yang rabani,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!