Isu kontrak DRT: ‘Kenyataan KP SPRM pelik’

Razali Idris
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memaklumkan tidak melihat sebarang kaitan antara pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor dengan Menteri Belia dan Sukan, adalah dianggap pelik.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata demikian sambil menegaskan, soal paling besar tentang DRT itu adalah ia diperoleh oleh syarikat Asia Mobility Technologies Sdn. Bhd. (Asia Mobility) milik suami Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh iaitu Ramachandran Muniandy seperti yang dilaporkan dalam media arus perdana.  

- Advertisement -

“Apa yang SPRM seolah-olah nampak buta? Adakah KP SPRM yang baru renew kontrak begitu bersahaja mengatakan pemberian kontrak DRT tidak ada salahnya?”

“Rakyat yang marhaen pun boleh nampak dari aspek salah tadbir urus, salah tatakelola. Mungkin ada salah guna kuasa, salah guna jawatan, salah guna connection dan networking. Semua perkara ini perlu diperhalusi dan diperincikan.

“Rakyat kata Menteri KBS dari DAP dan blok PH. Kerajaan Selangor sekarang pun dari blok PH yang ada PKR dan DAP. Kelulusan projek DRT juga datang dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang mana di bawah Menteri dari DAP.

“Rakyat pun dah nampak, boleh ke begitu? Nampak macam jauh ikatan itu tetapi macam mesra hubungan itu. Jadi, (apa) kesudahannya?” soalnya. 

Tambah Razali, perkara berkenaan bukanlah tuduhan atau fitnah, sebaliknya hanya suara rakyat yang pelik, hairan dan bimbang dengan kejadian berkenaan.

“SPRM tidak bimbang ke? Takut-takut berlaku ketirisan negeri dan negara. Bos besar mereka sendiri selalu melaungkan soal sakau, penyamun, perasuah, maha kaya dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -