Disko keretapi: Cuba promosi budaya hedonisme?

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: PAS Negeri Johor menyifatkan penganjuran pesta hiburan dalam gerabak sewaan khas Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang videonya tular baru-baru ini sebagai satu percubaan untuk mengubah budaya. 

- Advertisement -

Jabatan Penerangan PAS Johor dalam satu kenyataan menyifatkan aktiviti tersebut sebagai mempromosi cara hidup yang bercanggah dengan budaya, kesopanan dan agama masyarakat Timur terutamanya masyarakat Melayu-Islam.

“Adalah sangat tidak wajar perbuatan seperti ini kerana ianya didedahkan dan dibuka kepada semua orang tanpa mengira agama dan bangsa. Ianya boleh ditafsirkan sebagai perbuatan mengubah budaya masyarakat Melayu-Islam.

“Masyarakat ini orang yang bersantun, tetapi cuba dibawa atau didedahkan kepada hedonisma melampau tanpa memikirkan kesan dan akibat kepada generasi muda,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, PAS Johor mengingatkan kepada semua pihak termasuk penganjur agar lebih peka terhadap sensitiviti umum sebelum menganjur sesuatu program dan mestilah secara waras serta rasional untuk kebaikan semua pihak. 

‘Pihak berkuasa digesa agar lebih teliti dan tegas dalam menguatkuasakan undang-udang kepada semua pihak. Untuk muda mudi Melayu dan Islam, ingatlah kita tetap punyai batas agama sekalipun kita berada pada zaman penuh dengan kemodenan dan pancaroba. 

“Berpeganglah pada tunjang agama Islam yang suci, pasti hidup kita selamat dan membawa kesejahteraan kepada semua,” kata kenyataan itu lagi. – HARAKAHDAILY 24/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -