
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk menutup operasi agensi berita Al Jazeera di negaranya itu, selepas parlimen meluluskan undang-undang untuk menghentikan operasi berita asing yang dianggap memberikan ancaman kepada keselamatan negara.
Undang-undang yang diluluskan itu bakal memberikan Perdana Menteri dan Menteri Komunikasi negara haram itu kuasa untuk mengarahkan penutupan agensi berita asing di Israel, sebuah kuasa yang dilihat oleh kumpulan hak asasi manusia sebagai mendatangkan implikasi kepada liputan berita terhadap perang di Gaza.
“Al Jazeera mengancam keselamatan Israel, terlibat secara aktif dengan pembunuhan beramai-ramai sejak 7 Oktober dan menghasut untuk menentang tentera Israel”, kata Netanyahu menerusi laman X miliknya.
Kelulusan undang-undang oleh parlimen Israel itu berlaku sebulan selepas Netanyahu berdepan dengan tekanan awam dan protes besar-besaran daripada rakyatnya mengenai pengendalian beliau di dalam perang di Gaza yang dilihat semakin gagal, lapor Middle East Eye.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Israel, Shlomo Karhi beliau akan mengambil tindakan yang seterusnya untuk menutup operasi Al Jazeera, sambil menganggap agensi berita itu sebagai ‘senjata propaganda Hamas’ dengan menggalakkan perjuangan senjata bagi menentang Israel.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) menyuarakan kebimbangannya mengenai kelulusan undang-undang itu yang dilihat bakal menyumbang kepada larangan dan permusuhan terhadap agensi berita.
Pengarahnya, Carlos Martinez de la Serna berkata, undang-undang tersebut memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menutup mana-mana saluran media asing yang beroperasi di Israel.
“Ia akan menimbulkan ancaman besar kepada media antarabangsa dalam negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!