LASPI seru rakyat kurang guna, kitar semula plastik

Mohd Zuhdi Marsuki
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (LASPI) Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru seluruh rakyat Malaysia khusus ahli-ahli PAS supaya bersama-sama berusaha mencapai agenda global ini untuk mengurangkan penggunaan plastik dan mengitar semula barangan plastik yang telah digunakan demi menyelamatkan bumi.

Pengerusi LASPI PAS, Dr Mohd Zuhdi Marsuki menyeru seluruh rakyat Malaysia menyahut agenda ini, bertindak bermula dengan diri sendiri, kemudian mengajak ahli keluarga dan seterusnya masyarakat keliling. 

- Advertisement -

“Sehubungan dengan itu, di pihak PAS, LASPI akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kedah dan Yayasan Strategik Lestari (YSL) menganjurkan sambutan Hari Bumi Sedunia pada 18 Mei 2024. 

“Pelbagai program yang bersifat pendidikan dan kesedaran alam sekitar termasuklah yang berkaitan dengan penggunaan plastik akan diadakan. LASPI menjemput segenap lapisan masyarakat menyertai sambutan yang bakal dianjurkan nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, bumi yang sama-sama diduduki ini, hanyalah satu-satu planet yang sesuai untuk kehidupan makhluk manusia dan setakat pengetahuan yang dimiliki sehingga kini, manusia tidak mempunyai alternatif untuk hidup di planet lain selain bumi yang didiami. 

Justeru menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab manusia untuk memulihara bumi untuk kehidupan  masa kini dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Ini kerana sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan manusia sebagai khalifah yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan bumi dan kehidupan di atasnya. 

“Dia Yang Maha Pencipta juga memberikan hak kepada manusia untuk menggunakan sumber-sumber daripada bumi untuk keperluan hidup mereka, tanpa melampaui batas. Oleh sebab itu, kita berperanan memastikan keseimbangan bumi terus lestari.

“Hari ini, 22 April 2024, sekali lagi seluruh warga bumi menyambut Hari Bumi Sedunia, dengan memperbaharui tekad untuk memastikan satu-satunya ‘rumah’ kita ini dapat terus menyokong kehidupan manusia dan makhluk-makhluk lain di dalamnya.

“Saban tahun kita menyambut Hari Bumi Sedunia, seharusnya sambutan ini menjadi pendidikan berterusan sepanjang hayat, agar kita hidup secara mesra alam sekitar,” tambah beliau.

Kata beliau, tema Hari Bumi Sedunia bagi tahun ini ialah ‘Planet vs Plastics’, iaitu satu tema yang memaparkan keazaman masyarakat global untuk mengurangkan pencemaran plastik, yang mutakhir ini manjadi antara penyumbang utama ketidakseimbangan ekosistem. 

“Pencemaran plastik dapat dikurangkan dengan mengurangkan sehingga 60 peratus pengeluaran plastik menjelang tahun 2040,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -