Kebersihan: KTMB bertindak positif teguran Afnan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden telah menerima maklum balas positif berkaitan penyelenggaraan kebersihan Stesen KTM Alor Setar, di sini yang diketengahkannya Selasa lalu.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam reaksi segera mereka telah merakamkan penghargaan terima kasih atas keprihatinan Afnan serta mengambil maklum berkenaan tahap kebersihan di sekitar stesen seperti diketengahkan itu.

- Advertisement -

“KTMB komited mempertingkatkan tahap kebersihan stesen bagi memastikan keselesaan dan penumpang . Terima kasih sekali lagi kepada YB kerana memilih perkhidmatan KTMB,” balas mereka.

Perbadanan Aset Keretapi (RAC) susulan itu telah bertindak melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan tempat letak kereta stesen tersebut yang selesai dijalankan pada Khamis lalu dan memuat naik gambar-gambar berkenaan semalam.

“RAC akan memastikan keadaan tempat letak kereta di stesen ini sentiasa dalam keadaan yang baik demi keselesaan penumpang. Terima kasih YB Afnan Hamimi Taib Azamudden atas teguran yang diberikan,” ujar mereka.

Ketua Pemuda PAS Malaysia itu selaku pengguna perkhidmatan KTM, dalam siaran ‘serius tapi santai’ di media sosial peribadinya telah menyentuh hal tersebut di stesen itu ketika mahu mengambil perjalanan ke Kuala Lumpur.

“Saya tak tahu penyelenggaraan stesen KTM ni macam mana. Tapi stesen KTM ni untuk makluman hangpa (anda) semua, dia di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab Kementerian Pengangkutan, bukan bawah kerajaan negeri.

“Kalau kita nak pandai-pandai suruh minta Majlis Bandaraya mai (mari) sapu, tak boleh. Dia dah masuk petak orang, masing-masing ada petak, ada punca kuasa (sendiri),” jelas beliau ketika itu.

Afnan turut membangkitkan ruangan tempat letak kereta yang hanya dibuka untuk digunakan sebahagian, tetapi menutup sebahagian ruang terletak di seberang stesen itu, sedangkan wujud keperluan tinggi untuk kegunaan berkenaan.

Menurutnya, beliau melihat kerap berlaku kesesakan terutama pada waktu puncak, ditambah laluan di situ juga sempit, sekali gus berharap Kementerian Pengangkutan dapat menambah baik keadaan hampir serupa di stesen-stesen seluruh negara.

“Stesen KTM ni menjadi tumpuan pengguna bagi perjalanan jauh sebab depa (mereka) boleh jimat duit, kos tol, kos minyak dan KTM ni bagus dia, dia cepat, dia punctual, dia tepat (masa).

“Dia tak delayed (tertangguh) macam flight (pesawat). Flight dia terikat dengan cuaca. KTM ni dia tak terikat dengan cuaca. Disebut dalam Parlimen, hampir 99 peratus tepati masa. Jadi dia selamat, dia tak berlaku jammed.

“Dia mendapat permintaan tinggi para pengguna. Saya nak beli tiket keretapi pun saya kena booking (tempah) dua minggu awal ataupun sebulan awal. Kalau sehari dua sebelum itu ikut nasib. Biasanya penuh,” pujinya.

Ketika menanti ketibaan tren, Afnan sempat meninjau aspek kebersihan di tandas yang turut disifatkan beliau kurang bersih, namun memuji kebersihan surau, tetapi dikatakan agak kecil dan sesak di waktu solat Maghrib terutamanya.

Mengakui telah sekian lama dan sehingga kini masih menggunakan perkhidmatan KTM, beliau menjelaskan tidak bermaksud membangkitkan keadaan tidak memuaskan itu untuk mencalar reputasi agensi berkenaan.

Terang Afnan, ia semata-mata agar keselesaan bersama dapat dinikmati semua pengguna dan menyeru supaya perkara itu bukan hanya menjadi tugas pekerja pembersihan, tetapi satu pembudayaan kepada masyarakat serta individu.

“Kerana kebersihan ini bukan sahaja soal cerminan atau imej yang nampak, tetapi di sisi Allah SWT dan ajaran Islam, kebersihan itu dinyatakan sebagai sebahagian daripada iman,” ujarnya menyatakan tujuan beliau. – HARAKAHDAILY 29/4/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -