Jamaica negara ke-142 iktiraf kedaulatan Palestin 

Jamaica merupakan negara terbaharu yang mengiktiraf kedaulatan Palestin sebagai sebuah negara yang sah. (FOTO: Shutterstock)
- Advertisement -

KINGSTON: Kerajaan Jamaica telah mengambil keputusan untuk mengiktiraf kedaulatan Palestin yang kini sedang dala pergolakan perang dengan Israel, sebagai sebuah negara yang sah.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Luar dan Perdagangan Luar Negeri, Kamina Johnson Smith selepas mesyuarat kabinet pada 22 April lepas. 

- Advertisement -

“Jamaica akan terus menyokong penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya pilihan untuk menyelesaikan konflik yang berlarutan ini, menjamin keselamatan Israel dan mengangkat martabat dan hak rakyat Palestin.

“Dengan mengiktiraf kedaulatan Palestin, Jamaica mengukuhkan lagi perjuangan terhadap penyelesaian secara aman,” katanya.

Keputusan itu menjadikan Jamaica merupakan antara negara terbaharu menyertai 141 lagi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini yang telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara. 

Mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan, Smith berkata, keputusan tersebut selari dengan komitmen Jamaica terhadap prinsip Piagam PBB yang bertujuan untuk melahirkan rasa hormat dan kewujudan bersama secara aman di antara negara, serta pengiktirafan hak rakyat untuk menentukan nasib sendiri. 

Beliau dalam pada itu, mengulangi kebimbangan negaranya terhadap perang di Gaza serta krisis kemanusiaan yang semakin buruk, bersama-sama dengan perjuangan kerajaannya untuk penyelesaian damai konflik Israel-Palestin melalui diplomatik dan bukan melalui tindakan ketenteraan. 

“Jamaica menyokong gencatan senjata segera, pembebasan tebusan dan peningkatan akses kepada bantuan kemanusiaan untuk penduduk di Gaza, terutamanya wanita dan kanak-kanak yang menderita setiap hari.

“Jamaica akan terus menyokong semua usaha untuk mengurangkan ketegangan dan mewujudkan keamanan yang berkekalan di rantau ini. Kami juga meminta semua pihak untuk mempertimbangkan akibat buruk daripada konflik ini dan komited kepada penyelesaian diplomatik yang memastikan keselamatan dan kedaulatan semua,” katanya. – Agensi – HARAKAHDAILY 24/4/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -