
SEHINGGA hari ke 180, rejim Zionis Israel telah melakukan 2922 serangan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza yang mengakibatkan kematian menghampiri angka 40,000 orang.
Pejabat Penerangan Kerajaan Palestin hari ini (Rabu 3 April) melaporkan ramai mangsa terdiri dari kalangan wanita, kanak-kanak, petugas kesihatan, pertahanan awam, wartawan dan sukarelawan antarabangsa.
Bangunan yang dimusnahkan pula termasuklah rumah kediaman, pejabat dan agensi kerajaan, masjid, sekolah, klinik, hospital dan bangunan-bangunan awam lain.
Berikut beberapa angka yang diumumkan setelah melalui fasa hari ke 180 serangan.
● 2922 serangan
● 39,975 syahid dan yang belum ditemui
● 32,975 syuhada’ yang dibawa ke hospital
● 14,500 syuhada’ di kalangan kanak-kanak
● 30 orang mati kerana lapar
● 9,560 syuhada’ wanita
● 484 syuhada’ di kalangan petugas kesihatan
● 65 syuhada’ di kalangan pasukan pertahanan awam
● 140 syuhada’ di kalangan wartawan
● 7,000 orang hilang
● 75,577 orang cedera
● 73% mangsa adalah kanak-kanak dan wanita
● 17,000 kanak-kanak menjadi yatim
● 11,000 pesakit yang cedera parah dan perlu rawatan di luar negara
● 10,000 pesakit kanser berhadapan maut kerana tiada rawatan
● 1,088,764 mengalami pelbagai penyakit akibat peperangan
● 8,000 mengalami sakit wabak yang berpunca dari virus yang menyerang hati
● 60,000 wanita hamil berhadapan kesukaran untuk melahirkan anak tanpa rawatan yang rapi
● 350 mengalami pelbagai penyakit tanpa sebarang ubat dan rawatan
● 310 petugas kesihatan ditangkap oleh tentera rejim
● 12 wartawan ditangkap
● 2 juta pelarian di Gaza
● 171 bangunan kerajaan dimusnahkan
● 405 sekolah dan universiti dimusnahkan, 100 daripadanya hancur secara total
● 400 masjid dimusnahkan, 171 daripadanya hancur sama sekali
● 3 gereja dimusnahkan
● 70,000 rumah kediaman dimusnahkan secara total
● 290,000 rumah kediaman rosak teruk
● 70,000 tan bahan letupan digugurkan di seluruh Gaza
● 32 hospital tidak boleh berfungsi
● 53 klinik dan pusat rawatan tidak boleh berfungsi
● 159 yayasan kesihatan diserang
● 126 buah ambulan dibom
● 200 lokasi bersejarah musnah diserang
Sementara itu Kementerian Pendidikan Palestin pula mengumumkan bahawa seramai 6,050 pelajar telah terbunuh syahid di Gaza dan Tebing Barat sepanjang konflik sejak 180 hari lalu. Manakala 10,219 pelajar mengalama pelbagai kategori kecederaan akibat serangan rejim.
Di Gaza sahaja, 5994 pelajar terbunuh syahid dan 9,890 cedera.
Di Tebing Barat, seramai 56 pelajar dibunuh, 329 cedera dan 105 orang ditangkap.
Di kalangan guru dan kakitangan sekolah pula seramai 266 terbunuh, 973 cedera di Gaza. 73 orang ditangkap di Tebing Barat.
Sebanyak 351 buah sekolah termasuk 65 buah yang ditaja oleh PBB berhadapan serangan Israel. 40 daripadanya musnah sama sekali. 111 buah mengalami kerosakan teruk.
Di Tebing Barat, 57 buah sekolah berhadapan pencerobohan tentera Israel dan dirosakkan.
Kementerian Pendidikan menegaskan seramai 620 ribu pelajar di Gaza masih gagal mengikuti pengajian sejak peperangan bermula Oktober tahun lalu. Di samping sekolah yang tidak dapat berfungsi, pelajar-pelajar juga sedang mengalami trauma akibat serangan ganas yang berterusan.
Dalam masa sama Bank Dunia dan PBB pada Selasa lalu mengumumkan bahawa kemusnahan rumah kediaman dan pelbagai bangunan di Gaza dianggarkan bernilai 18.5 bilion dollar.
Angka itu adalah bersamaan dengan 97% daripada pendapatan Tebing Barat dan Gaza sepanjang tahun 2022.
ARIS HAZLAN ISMAIL
Pahang – HARAKAHDAILY 4/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!