
ALOR SETAR: Cadangan melantik bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid sebagai Pengerusi Bersama Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) adalah tidak masuk akal.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keperluan mewujudkan MTPN adalah untuk menyelaraskan projek pembangunan negeri dan Persekutuan merangkumi pelantikan menteri besar dan seorang menteri daripada Persekutuan sebagai pengerusi bersama.
“Pemilihan pengerusi bersama dibuat berdasarkan kepada punca kuasa dan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perdana Menteri menamakan Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai pengerusi bersama dengan saya, itu punca kuasanya, lain daripada itu tidak boleh. Sebab itu saya kata cadangan dia tak masuk akal langsung, cakap tak guna otak.
“Atas kapasiti apa mahu ganti saya dengan Mahdzir? Cadangan itu atas kapasiti beliau sebagai apa? Wakil rakyat atau jawatan apa?” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di sini, semalam.
Sanusi berkata demikian sebagai respons kepada cadangan Ketua Penerangan Umno Kedah, Dato’ Shaiful Hazizy Zainol Abidin agar Mahdzir dilantik sebagai Pengerusi Bersama MTPN bagi memastikan projek-projek kerajaan Persekutuan di negeri ini berjalan lancar.
Shaiful mendakwa cadangan itu ekoran banyak projek lambat dan tertangguh disebabkan hubungan kerajaan negeri dan persekutuan yang tidak sehaluan.
Justeru kata Sanusi, Ketua Penerangan Umno itu lebih kepada bersikap semberono malah tidak meneliti punca kuasa melibatkan arahan pekeliling tersebut.
Mengulas lanjut katanya, hubungan antara negeri dan persekutuan perlu dirujuk kepada perjanjian pembentukan Malaysia, bukan sebab parti yang sama atau tidak.
“Saya nasihatkan dia (Shaiful) untuk apa-apa cadangan selepas ini, baca dulu. Janganlah kerana ada jawatan dalam politik tak baca, dan terus cadang, nampak kurang cerdik.
“Bukan sebab parti yang sama baru boleh berhubung, parti tak sama tak boleh berhubung. Berfikirlah secara negarawan, bukan politik 24 jam.
“Selepas selesai pilihan raya, negeri dan persekutuan tidak lagi berhubung atas dasar politik kepartian. Hubungan yang terjalin atas dasar perjanjian pembentukan Malaysia,” ujarnya lagi.
Maklumnya lagi, hubungan persekutuan dengan negeri harus berlandaskan sistem federalisme dan amalan demokrasi selepas pembentukan kerajaan, bukan lagi bersifat kepartian. – HARAKAHDAILY 22/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!